Khamis, 4 Februari 2016

Syiling peruf Malaysia keluaran khas di CAA Auction 7

Set syiling peruf yang dikeluarkan khas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk anugerah perkhidmatan kakitangan keselamatan (maklumat yang diketahui setakat ini) akan dilelong di dalam acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) ke 7 pada 23 April 2016 di Hotel Landmark Village, Singapura.

ABU BAKAR

Set syiling peruf khas yang akan dilelong itu adalah milik "ENCIK ABU BAKAR BIN MAT DAUD".

Di luar kotak, tertera tulisan "BANK NEGARA MALAYSIA" beserta logo BNM dan juga nama "ENCIK ABU BAKAR BIN MAT DAUD 1969-1984".

Di bahagian dalam kotak tertulis "ENCIK ABU BAKAR BIN MAT DAUD", "PEMBANTU KESELAMATAN, BANK NEGARA MALAYSIA", "Bagi menghargai perkhidmatan tuan mulai 1 April, 1969 hingga 1 Julai, 1984 daripada Gabenor dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia".

Set syiling pruf itu mengandungi:
  • Sekeping syiling 5, 10, 20, 50 sen copper nickel peruf dan 1 sen copper peruf tahun 1967.
  • Sekeping syiling 1 Ringgit 1971 copper nickel peruf.
  • Sekeping syiling peringatan 5 Ringgit copper nickel peruf Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
  • Sekeping syiling peringatan 1 Ringgit peruf perak 10 tahun Bank Negara.
  • Sekeping syiling peringatan RM100 peruf emas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
  • Sekeping syiling peringatan 1 Ringgit copper nickel peruf 1972 Bandaraya Kuala Lumpur.


Maklumat yang diketahui semasa artikel ini ditulis, hanya ada 5 set sahaja yang ditemui dan dua darinya adalah anugerah perkhidmatan kakitangan keselamatan BNM yang telah lama berkhidmat dengan BNM, dari awal tahun 1965 sehingga tahun 1984.

Menurut maklumat yang diterima daripada buku katalog CAA 7/2016 ianya diberikan kepada pembantu keselamatan BNM selepas persaraan mereka. Namun, dari perkiraan yang kami buat berdasarkan dari 2 set syiling Pruf khas ini, seorang dari kakitangan itu bersara selepas berkhidmat selama 15 tahun dan seorang lagi bersara selepas 16 tahun?

Pada pendapat kami, ianya mungkin diberikan kepada kakitangan tersebut berdasarkan kepada tempoh mereka berkhidmat didalam BNM (lebih 15 tahun) kerana pelik juga tempoh bekerja kerajaan cuma 15 tahun sahaja. Orang dulu-dulu apabila bekerja dengan kerajaan pencen paling kurang pun 30 tahun. Pembantu Keselamatan setahu kami adalah kakitangan kerajaan, tidak sama dengan polis atau tentera. Pendapat sahaja, besar kemungkinan ianya tidak tepat.

Mungkin ada bekas atau kakitangan BNM yang mungkin boleh memberikan maklumat yang lebih tepat berkenaan perkara ini.

Jika anda mempunyai maklumat mengenai Set syiling pruf ini, mohon kongsikan dengan kami.