Khamis, 28 Januari 2016

Intipati Pengubahsuaian ‪‎#Bajet2016 Malaysia

Hari ini (28 Januari 2016), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pengubahsuaian dan penstrukturan semula #Bajet2016. Kerajaan membuat pengubahsuaian dan penstrukturan #Bajet2016 untuk mempastikan bajet 2016 Malaysia akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.

#Bajet2016 Malaysia

Najib berkata, ekonomi global dijangka lebih mencabar pada 2016 di mana data IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus. Selain itu, perdagangan dunia dijangka menyusut,daripada 4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China dijangka berkembang lebih perlahan.

Kerajaan telah membuat keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2016 kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong. Harga minyak mentah dunia terus merudum pada paras 30 dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.

Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding mata wang lain. Antara mata wang tersebut ialah real Brazil, negatif 23.2 peratus, renminbi China, negatif 5.7 peratus, dolar Kanada, negatif 11.3 peratus, ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan dolar Singapura, negatif 5.6 peratus.

Sementara itu, nilai ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika sebanyak 11.3 peratus, iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada 4.25 ringgit setakat 27 Januari 2016.

Oleh yang demikian, Kerajaan mengumumkan 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian #Bajet2016, demi mempastikan ekonomi dan kewangan negara, kekal berada pada jajaran yang betul.

11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian #Bajet2016 Malaysia:

Langkah 1:
Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

Langkah 2:
Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015. Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.

Langkah 3:
Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:

  • Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten. Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.
  • FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.
  • Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang berpatutan, kerajaan telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.
  • Dalam waktu yang sama, kerajaan mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.
  • Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan 
  • Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.

Langkah 4:
Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.

Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit, sukacita di umumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.

Langkah 5:
Selaras dengan apa yang PM umumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.

Langkah 6:
Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:
  • Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.
  • Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.
  • Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.
  • Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini. Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini.
  • Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan
  • Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.

Langkah 7:
Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.

Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.

Langkah 8:
Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.

Langkah 9:
Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.

Langkah 10:
Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup companies; dan

Langkah 11: 
Kerajaan menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.


Pelancongan:
  • Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.
  • Mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara yang dikenalpasti.
  • Pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free, bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

Perbelanjaan Mengurus Kerajaan:
  • Meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah people economy.
  • Tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism. Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.
  • Meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet.
  • Kesemua langkah berhemat yang dibentangkan sebentar tadi, dijangka dapat menjimatkan sehingga 9 bilion ringgit perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Pendidikan:
  • Meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti berikut:
  1. Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.
  2. Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.
  3. Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan
  4. Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.
  • Peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan terus disalurkan kepada para mahasiswa.
  • Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.

Projek infrastruktur dan pembangunan:
  • Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit tahun ini. Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.
  • Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan Kangar.
  • 4 RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun ini