Ahad, 13 September 2015

Acara lelongan MNS No165 27 Sept ini

Malaysia Numismatic Society (MNS) akan mengadakan acara lelongan mereka yang ke 165 pada 27 September 2015 bermula jam 9.30pagi. Acara lelongan MNS No165 itu akan diadakan di Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Negara, Jalan Petalawati, 50480, Kuala Lumpur.

mns auction

Bagi saya, apa yang menarik mengenai acara lelongan ini adalah dua buah buku numismatik lama yang amat jarang dapat dilihat didalam acara lelongan.

Lot No 222: Standard Catalogue of Coins & Banknotes of Malaysia, Singapore & Brunei 1700 - 1976. Diterbitkan oleh MNS. Harga Rizab (Reserve Price): RM280.

Lot No 223: The Coins of Malaysia, Singapore & Brunei, 1400 - 1986 by Saran Singh (buku edisi pertama, bersama-sama dengan panduan harga) Diterbitkan oleh MNS. Harga Rizab (Reserve Price): RM900.

Buku katalog duit lama Malaysia yang diterbitkan oleh MNS pada tahun 1976 tersebut adalah di antara buku katalog terawal yang dikeluarkan di negara ini selain daripada buku katalog Steven Tan. Ianya adalah sebahagian daripada sejarah numismatik di Malaysia.

Buku Saran Singh edisi pertama tersebut walaupun tidak mempunyai keadaan yang baik, turut menjadi bahan numismatik buruan untuk collector Malaysia. Amat sukar untuk menemuinya dipasaran pada hari ini, kecuali jika ada dijual di laman web luar negara. Jika anda masih ingat lagi pada tahun lepas, edisi kedua buku ini telah dilelong pada harga RM1500 didalam acara lelongan MNS (sila baca: Saran Singh Book sold for RM1500). Namun, buku tersebut didalam kondisi yang cantik, hanya ada sedikit foxing dibahagian dalam.

Selain buku numismatik, acara lelongan itu juga akan menjual wang kertas lama dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Selain itu syiling edaran Malaysia dan juga syiling peringatan Malaysia akan turut dilelong pada hari yang sama. Duit syiling timah Kesultanan Melayu yang semakin mendapat tempat dihati pada pengumpul duit lama seperti duit tampang, pitis dan jokoh akan turut menjadi sebahagian dari lot yang akan dilelong. Untuk maklumat lanjut acara lelongan MNS No165, anda boleh melawat blog ini: dniewcollectors.blogspot.com

Semua rakyat Malaysia dijemput hadir untuk menyertai acara lelongan tersebut. Namun, hanya mereka yang berdaftar sebagai ahli MNS sahaja yang akan dibenarkan untuk membuat bidaan didalam acara lelongan ini. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh membaca artikel Bagaimana untuk menjadi ahli MNS.

Jika anda berniat untuk menjual koleksi anda didalam acara lelongan ini, ianya sudah ditutup.

Jika anda berniat untuk melelong 50 sen berparit anda, sila baca ini; 50 sen berparit berharga tinggi?

Masa inilah anda boleh melihat lelaki pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama berebut-rebut melihat duit lama, tak ubah seperti melihat wanita cantik. Walaupun tidak dibenarkan untuk "memegang" dan "menyentuh" barangan yang akan dilelong, akan ada diantara mereka yang tetap nak pegang juga. Masa ini semua jadi gelojoh terhormat, gelojoh yang tak akan membuatkan para isteri risau.

Jumpa anda di acara lelongan MNS ke 165 pada 27 September 2015 ini.