Hari ini, seorang pembaca bertanya kepada saya, berbaloikah untuk membeli setiap keluaran buku katalog? Sedangkan setiap buku yang dijual hanya memperbaharui "harga pasaran" setiap syiling yang ada didalam buku mereka. Adakalanya, ada daripada syiling tersebut yang tidak menunjukkan perubahan harga.
Beliau berkata demikian kerana beliau baru sahaja menjual beberapa keping koleksi duit syiling 50 sen parlimen yang mempunyai gred Brilliant Uncirculated (BU) yang telah beliau simpan selama 20 tahun. Beliau dapati, tuan punya kedai duit lama tersebut mengambil keuntungan 20% daripada harga didalam buku A kerana harga didalam katalognya lebih murah dan tuan punya kedai tersebut boleh jual mengikut harga katalog B yang mempunyai harga lebih mahal. Beliau juga memberitahu, syilingnya itu adalah BU pada gred BU tetapi tuan punya kedai duit lama tersebut membelinya pada harga Extremely Fine (EF). Walaupun beliau tidak rugi tetapi beliau rasa menyesal kerana tidak membuat tinjauan harga ke kedai lain terlebih dahulu.
Adakah berbaloi untuk membeli setiap keluaran buku katalog?
Bagi saya, jawapan kepada soalan itu adalah sangat subjektif. Bagi seorang numismatist dan collector tegar, buku itu adalah penting untuk dijadikan sebagai bahan rujukan dan panduan dimasa hadapan. Buku katalog yang baik akan memberikan kita data sejarah mengenai harga duit lama yang tidak terlalu jauh daripada harga pasaran duit lama pada masa buku itu diterbitkan.
Bagi collector biasa atau peminat numismatik, ianya mungkin bukan barang keperluan. Harga buku yang mahal sehingga adakalanya mencecah seratus ringgit, membuatkan mereka tidak mampu untuk membelinya. Jika nak tahu harga duit lama, buat sahaja muka tak malu, tanya pada orang lain. Walaupun sehingga menganggu orang pada jam 2pagi semata-mata nak tanya harga duit lama yang dia ada. "Jika ada kemahuan, disitu ada jalan". Jika tidak minat numismatik, hati akan rasa berat untuk membeli walau buku yang berharga cuma RM20 berbanding dengan rokok sekatun.
Saya ada seorang rakan yang membuat pelaburan duit lama. Beliau memang tidak pernah membeli buku katalog. Namun, beliau membuat kajian sendiri setiap 6 bulan sekali mengenai harga pasaran duit lama yang disimpannya. Beliau pergi ke pasar karat, kedai duit lama, memantau jualan di eBay dan juga jualan lelong secara online atau offline seperti oleh Malaysia Numismatic Society.
Buku katalog hanya panduan
Apa pun keputusan yang anda buat, perlu di ingat, buku katalog hanyalah panduan kepada anda ketika urusan jual beli. Persetujuan penjual dan pembelilah yang akan menentukan berapakah harga yang anda akan dapat atau anda akan bayar. Jika penjual hanya menolak harga buku 20%, itu sudah cukup tinggi. Kebanyakkan kedai duit lama hanya mengambil 50% dari harga pasaran duit lama.
Berkenaan penilaian gred, jika anda tidak berpuashati dengan gred yang diberikan oleh penjual (EF, BU), anda mempunyai hak untuk tidak menjualnya kepada penjual tersebut. Jika perbezaan harga itu melibatkan sehingga beribu ringgit, cara paling baik adalah menghantarnya ke 3rd party grading seperti NGC dan PCGS. Saya nasihatkan janganlah membuang duit untuk menghantar ke grading yang dibuat oleh kedai-kedai menjual duit lama sebab tidak ramai penjual yang akan menerima grading tersebut.
Bukan colector juga selalu beranggapan, "penjual perlu membeli duit lama yang dia ada dengan harga pasaran". Jika kedai duit lama membeli duit lama anda pada harga pasaran, berapakah harga yang mereka terpaksa jual untuk mendapat untung?
Sebab itu, saya lebih suka menyuruh anda belajar menjual duit lama anda sendiri; cara mudah menjual duit lama.
Beli ilmu dulu sebelum anda membina koleksi anda
Buku numismatik, buku katalog dan juga cara-cara bagaimana untuk menilai ketulenan serta gred duit lama adalah ilmu yang sepatutnya dicari terlebih dahulu sebelum anda mula mengumpul koleksi. Jika anda tidak mahu membeli setiap keluaran buku katalog sekalipun, sekurang-kurangnya ada sebuah buku katalog sebagai panduan harga. Ilmu itu penting sebagai panduan kepada anda supaya tidak ditipu didalam alam numismatik Malaysia yang penuh dengan cabaran pada ketika ini.
Berbaloi ke habiskan duit beli buku katalog atau buku numismatik setiap tahun? Jawapan itu anda perlu jawab sendiri kerana andalah yang lebih tahu, dimana anda ingin letakkan diri anda didalam bidang numismatik ini.