Selasa, 14 Oktober 2014

1 sen 1976 berharga mahal?

Ada yang kata 1 sen 1976 berharga RM3600, tak kurang juga yang kata syiling ni berharga RM7000 sekeping tetapi adakah betul 1 sen 1976 itu berharga mahal? Nilai mukanya cuma mempunyai nilai denominasi 1 sen tetapi kenapakah ada yang sanggup membelinya pada harga beribu ringgit? Apa istimewanya syiling ini?

1 sen 1976

Sebelum kita memperkatakan mengenai kenapa syiling ini boleh berharga tinggi, adalah lebih jika kita melihat, sedikit maklumat mengenai syiling ini. Merujuk kepada buku katalog terbaru Master Sifu Steven Tan Edisi ke-21, syiling ini secara rasminya diperbuat daripada logam Copper Clad Steel dan ada 27,406,103 keping jumlah tempaan yang dibenarkan (untuk syiling 1 sen 1976) oleh Bank Negara Malaysia. Syiling pada tahun 1976 ini ditempa di Kilang Wang Bank Negara Malaysia, Shah Alam.

Ramai bukan collector yang salah faham dan beranggapan setiap syiling 1 sen 1976 mempunyai harga yang tinggi dan bernilai mahal. Khabar angin dari mulut ke mulut dan juga maklumat yang salah disebarkan oleh akhbar, radio serta televisyen membuatkan para collector percaya syiling yang disimpan oleh mereka itu adalah bernilai tinggi. Jumlah 27juta keping untuk syiling tersebut adalah suatu jumlah yang besar buat syiling Malaysia. Berfikirlah secara logik, jika jumlah tempaannya (mintage) adalah banyak, ramai orang yang memiliki syiling itu dan berusaha untuk menjualnya dengan harga mahal sehingga bertahun-tahun pun tidak ada sesiapa yang membeli, dimanakah silapnya? Adakah cerita mengenai syiling ini berharga mahal tidak benar?

Kenapakah syiling yang mempunyai jumlah tempaan lebih daripada 27juta keping ini boleh mendapat harga yang tinggi?

Adakah kerana didalam syiling ini ada emas atau perak?

Atau syiling ini datang dari kerajaan langit?

Hahahahaha.... Itulah "modal" yang selalu digunakan didalam cerita-cerita kedai kopi dimana-mana sahaja di Malaysia ini.

Merujuk kepada buku Katalog Master Sifu Steven Tan Edisi ke-21, daripada 27juta keping syiling itu, ada 100 keping yang telah didapati diperbuat daripada Bronze dan bukannya Copper Clad Steel, logam yang sepatutnya untuk tahun tersebut. Harga syiling ini menjadi mahal kerana terdapat diantaranya yang diperbuat daripada Bronze atau sesetengah pendapat Copper (tembaga) kerana syiling Malaysia sebelum itu tidak ada yang menggunakan Bronze. Kesilapan ini sekaligus menjadikan ianya antara syiling yang diburu oleh para collector.

Harganya menjadi semakin mahal apabila kondisi atau syiling itu sendiri masih cantik dan kelihatan seperti baru (bukan dicuci, berkeadaan asal seperti baru).

Bagaimana untuk memeriksa dan membezakan syiling yang diperbuat daripada Bronze dan juga Copper Clad Steel? Anda boleh melakukan pemeriksaan dengan menggunakan magnet, syiling yang menggunakan logam Copper Clad Steel akan melekat pada magnet. Anda perlu mencari syiling yang tidak melekat magnet untuk mendapat harga yang tinggi.

Namun, jangan pula anda salah faham dan memeriksa kesemua syiling anda dengan magnet, apa yang saya bincangkan didalam artikel ini adalah 1 sen 1976 sahaja. Untuk membantu anda memahami dengan lebih lanjut mengenai syiling-syiling Malaysia yang perlu diperiksa dengan magnet, sila baca artikel; what coin need to test with magnet.

Syiling ini pernah mengemparkan suasana komuniti numismatik Malaysia pada tahun 2013 ianya dilelong pada harga RM7550 di Singapura dan ianya diantara syiling yang menduduki takhta duit syiling Malaysia termahal buat seketika.

Dengan penerangan ini, diharap bukan collector akan lebih memahami kenapa 1 sen 1976 berharga mahal.