Khamis, 4 September 2014

Syiling Jepun bertulis Malaysia 2602

Semalam di Facebook, sifu Dickson Niew berkongsi gambar syiling bertulis "MALAYSIA" yang dikeluarkan pada tahun 2602 mengikut kalendar Jepun (1942 mengikut kalendar Masehi). Syiling yang sedang dipamerkan di Sasana Kijang itu mendapat perhatian rakan-rakan Facebook sebab masih ramai lagi yang tidak pernah melihatnya. Ada yang mengatakan duit syiling itu adalah palsu kerana pada tahun 1942, Malaysia masih tidak wujud lagi.

Malaysia

Duit syiling itu ada didalam simpanan Bank Negara Malaysia dan ditempatkan di Sasana Kijang serta merupakan antara duit syiling yang unik di Galeri Numismatik, Sasana Kijang. Saya pernah berkongsi cerita mengenai syiling ini didalam artikel; Asal-usul nama Malaysia.

Cerita syiling ini sampai ke Sasana Kijang bermula apabila pada tahun 1983, sebuah buku yang disusun oleh Bank of Japan bertajuk "Zuroku Nippon No Kahei" (Gambar Syiling dan Wang Kertas Jepun) didapati dibawah tajuk "coins of the pacific war", terdapat gambar duit syiling 20 sen tertulis dengan perkataan 'Malaysia'. Pada muka depan syiling itu kelihatan tiga cabang daun dan tarikh 2602 (1942) serta perkataan Malaysia. Di Bahagian belakang, kelihatan cahaya matahari diapit oleh bunga sakura dengan tulisan 20 sen di atas.

Menurut Wong Hon Sum didalam bukunya "The Japanese Occupation of Malaya (Singapore)", Pada bulan Mac 1986, Saran Singh telah mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan Osaka, Jepun mengenai perkara ini. Jawapan yang beliau terima adalah duit syiling 20 sen itu sebenarnya telah dikeluarkan oleh Osaka Mint dan 'Malaysia' mewakili nama umum penduduk Malaya pada masa itu. Semasa penjajahan mereka, Jepun mengiktiraf Melayu sebagai peribumi apabila Malaya dinamakan semula sebagai 'Ma-rai-ee' dan Cina, India dan lain-lain dianggap sebagai immigrant.

Ada juga yang percaya, perkataan 'Malaysia', seperti yang tertulis pada duit syiling itu, adalah gabungan nama 'Malaya' dan 'Indonesia' dan bahawa syiling itu bertujuan untuk edaran di Semenanjung Melayu dan Kepulauan Melayu. Walau bagaimanapun, pandangan ini telah dicabar oleh penemuan lima syiling aluminium yang dikeluarkan oleh tentera jepun di Indonesia. 2 keping syiling 1 cent dengan corak kepala kayu bertarikh 2603 (1943) dan 2604 (1944); 1 syiling 5 cent dengan corak wayang kulit bertarikh 2604 (anda boleh melihat gambarnya di dalam artikel; Sarawak 1 keping Copper in Baldwin Auction 91); 2 keping 10 sen dengan corak kepala kayu diperbuat dari Zinc dan Nickel bertarikh 2603 dan 2604.

Menurut apa yang ditulis didalam pameran di Sasana Kijang, syiling ini adalah duit contoh yang diperbuat daripada aluminium dan dibuat untuk digunakan di Tanah Melayu dan Singapura tetapi di atas sebab-sebab yang tidak diketahui, ianya tidak di edarkan.

Penjajah Jepun pada masa itu menggunakan tembaga dan gangsa didalam pembuatan senjata mereka untuk Perang Dunia ke-2. Apa sahaja syiling yang diperbuat daripada tembaga dan gangsa akan dirampas oleh askar Jepun untuk dihantar semula ke negara mereka untuk dijadikan sebagai senjata.Kebanyakkan syiling yang dibuat untuk edaran negara-negara jajahan mereka pada waktu itu diperbuat daripada aluminium kerana ianya tidak digunakan didalam pembuatan senjata mereka.

Sumber: Buku Buku "Malaysia Numismatic Heritage"; Buku "The Japanese Occupation of Malaya (Singapore)".