Selasa, 30 September 2014

Ke mana arah pendidikan numismatik Malaysia

Baru-baru ini, Dato Shahruddin, Presiden Kelab Warisan Numismatik ada menawarkan Pengajian Peringkat Sijil dalam bidang Numismatik "Certificate in Profersional Numismatic Malaysia", kelolaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kepada rakan-rakan numismatik di Facebook. Suatu usaha yang bagus daripada Kelab Warisan Numismatik untuk membantu memberi pendidikan kepada rakan-rakan numismatik di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara.

pendidikan numismatik

Ada beberapa perkara mengenai sijil numismatik tersebut yang kerap ditanya kepada saya seperti apakah yang akan diajar didalam silibusnya, siapakah tenaga pengajar yang akan mengajar, adakah pelajaran yang diajar itu perlu menjawab soalan peperiksaan dan juga apakah modul sijil numismatik luar negara yang diguna pakai untuk sijil tersebut. Soalan-soalan ini perlu dijawab untuk memudahkan bakal pelajar menimbang dan membuat keputusan untuk mengikuti program tersebut.

Kewajaran program ini diadakan di Sasana Kijang mungkin kerana disitu terdapat galeri Numismatik, Bank Negara Malaysia yang menempatkan banyak bahan-bahan numismatik Malaysia. Selain itu, pasaran untuk numismatik adalah lebih besar di Lembah Klang berbanding di tempat yang lain.

Namun, apa yang menarik untuk saya kupas mengenai isu ini, ke mana arah pendidikan numismatik Malaysia selepas ini? Adakah akan lebih banyak Universiti yang akan membuka peluang seperti ini? Daripada apa yang saya baca, tidak ada lagi universiti di Malaysia yang mengkhususkan kajiannya atau mewujudkan sekolah/jabatan numismatik. Jika adapun, ianya adalah berkaitan dengan bidang arkeologi, sejarah dan juga budaya.

Di Universiti of Vienna, Austria, setahu saya ada Institut Numismatik dan Sejarah Kewangan (Institute of Numismatics and Monetary History) yang menumpukan kepada kajian mengenai numismatik dan matawang dunia. Kebanyakkan daripada artikel kajian mereka dikongsi dengan orang ramai sebagai bahan rujukan.

Selain itu di Universiti Stockholm juga terdapat "Stockholm Numismatik Institute" yang diletakkan dibawah Jabatan Arkeologi universiti tersebut. Pendidikannya adalah sebahagian daripada pendidikan dalam bidang arkeologi. Ianya ditubuhkan untuk membincangkan/membuat kajian secara meluas mengenai syiling dalam konteks- ekonomi, politik, pentadbiran dan sosial.

Di Australia terdapat, Pusat Pengajian Numismatik Purba Australia (Australian Centre for Ancient Numismatic Studies-ACANS) yang telah ditubuhkan pada tahun 1999 berikutan wasiat daripada Dr WL Gale dan Puan J. Gale, diantara pengkaji numismatik terkemuka di dunia. Ia adalah Fakulti Pusat Penyelidikan Seni di Macquarie University yang diletakkan dibawah Jabatan Sejarah Purba universiti tersebut. Misi ACANS adalah untuk menggalakkan kajian numismatics purba melalui inisiatif dalam pengajaran dan penyelidikan dan memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti ini melalui pembangunan perpustakaan dan koleksi Numismatik. Sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai pemimpin nasional dalam numismatics purba, ACANS menjalankan program luas penyelidikan projek, pameran, persidangan dan penerbitan.

Setahu saya, Universiti di Malaysia tidak ada lagi mewujudkan fakulti/jabatan dan institusi sebegini (sila betulkan jika saya salah). Usaha daripada pihak UMP wajar dipuji oleh komuniti numismatik Malaysia. Namun, untuk menarik pengiat numismatik masuk ke dalam program mereka, UMP perlu lebih telus didalam program yang mereka tawarkan, jawapan yang jelas perlu diberikan untuk persoalan-persoalan seperti yang saya kongsikan di atas. Kebanyakkan daripada pengiat numismatik di Malaysia ini mempunyai kerjaya didalam bidang lain. Mereka perlu memikirkan adakah berbaloi untuk menyertai program tersebut dengan masa yang akan dikorbankan untuk program itu. 

Selain itu, selepas mendapat Sijil Numismatik Profesional Malaysia, apakah peluang kerjaya yang ada? Adakah mereka akan mendapat peluang bekerja di Jabatan Kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Muzium? Adakah sijil itu di iktiraf oleh kerajaan? Adakah ianya di iktiraf oleh Universiti luar negara? Adakah peluang pelajar Sijil Profesional Malaysia untuk melanjutkan pelajaran didalam bidang Numismatik selepas program sijil itu tamat? Bagaimana pula dari segi peluang pekerjaan di sektor swasta? Adakah pekerjaan yang boleh menerima sijil ini, adakah sijil ini perlu ada jika mereka ingin menjadi penjual duit lama dimasa hadapan?

Tahniah kepada Kelab Warisan Numismatik dan Universiti Malaysia Pahang yang berusaha untuk mewujudkan pendidikan numismatik di Malaysia. Semoga ianya berjaya dilaksanakan.

Kepada rakan-rakan yang bertanya kepada saya mengenai perkara ini, adalah lebih baik bertanya terus dengan Kelab Warisan Numismatik, anda juga boleh membaca mengenainya di dalam blog Dato Sha; Certificate in Profesional Numismatic Malaysia.