Isnin, 2 Jun 2014

Cerita tak sahih dalam dunia numismatik

Didalam dunia numismatik Malaysia, cerita khabar angin dan berita tak sahih mengenai duit syiling Malaysia telah lama menjadi mainan komuniti numismatik. Amat sukar untuk mendapatkan kenyataan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (sebagai badan kerajaan yang mengeluarkan duit syiling) kecuali jika mereka membuat kenyataan akhbar didalam website mereka.

Malaysia-China

Sebagai contoh, sebelum berita mengenai Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China Ke-40 dikeluarkan oleh BNM, saya menerima pelbagai versi cerita mengenai duit syiling itu.
-Dikatakan BNM tidak akan mengeluarkan syiling itu tetapi ianya akan dikeluarkan oleh Kilang Wang dari China dengan bermotifkan Panda dan juga Harimau, keluarannya adalah terhad di Malaysia.
-Rekabentuk syiling itu dikatakan sedang menunggu logo rasmi Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China Ke-40.
-Ada juga yang memberitahu BNM tidak akan mengeluarkan syiling untuk Panda tersebut.
serta beberapa lagi khabar angin yang bagi saya tidak perlu saya kongsikan disini.

Mungkin khabar angin itu ada yang betul tetapi apabila tidak ada kenyataan rasmi daripada BNM, ianya akan terus menjadi khabar angin sahaja. Masih ingatkah rakan-rakan semua mengenai duit syiling Rancangan Malaysia ke-10? Kepada rakan-rakan yang menjadi pembaca setia blog-blog saya sudah pasti dapat melihat rekabentuk syiling itu untuk seketika. Namun, ianya hanya khabar angin sebab syiling tersebut tidak dikeluarkan oleh BNM untuk jualan.

Jika anda perasan, BNM tidak pernah lagi mengeluarkan statistik duit palsu yang berada dipasaran sepertimana yang dilakukan oleh Kilang Wang Royal Mint, UK.

BNM juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumlah duit syiling atau wang kertas yang telah dikeluarkan oleh BNM untuk sesuatu tahun. Data yang collector ada pada ketika ini adalah berdasarkan Buku yang dibuat oleh Master Sifu Steven Tan.

Contoh paling mudah adalah mengenai duit syiling 10 sen 1971, kenapa keluaran syiling itu hanya ada 32,236 keping sahaja? Apa yang ada hanya cerita-cerita teori daripada rakan-rakan numismatik. Alangkah baiknya jika kita mendapat maklumat rasmi daripada BNM kenapa perkara itu berlaku? Syiling itu adalah salah satu dari syiling "Legend" yang sentiasa menjadi buruan peminat duit lama.

Mungkin, ada yang bersuara, kenapa tidak bertanya terus kepada BNM? Saya sudah mengupas isu itu didalam artikel ini; Bertanya hal numismatik kepada BNM?

Saya amat berharap, suatu hari nanti, BNM atau badan yang akan mengeluarkan duit Malaysia dimasa hadapan akan lebih bersikap terbuka dan membantu para collector didalam cerita serta maklumat mengenai duit syiling. Saya faham tugas itu bukanlah mudah didalam keadaan sekarang ini dimana kebanyakkan rakyat Malaysia lebih berminat untuk menghentam daripada membina.

Terima kasih kepada BNM kerana memberitahu mengenai pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China Ke-40 lebih awal. Semoga amalan ini akan diteruskan untuk pengeluaran duit syiling peringatan BNM yang akan datang. Jika boleh, buatlah jualan pada hari Ahad pula.