Rabu, 4 Jun 2014

Adakah syiling baru akan dijual di China?

Terdapat rakan-rakan collector yang bertanya "Adakah syiling peringatan 40 tahun hubungan Malaysia China yang baru dilancarkan akan dijual di China terlebih dahulu?" Ramai yang risau berapa ratuskah sahaja yang tinggal untuk collector di Malaysia. Inilah yang saya maksudkan mengenai Cerita tak sahih dalam dunia numismatik, artikel sebelum ini.

Isu BNM

Collector di Malaysia kurang mendapat kerjasama daripada Bank Negara Malaysia (BNM), badan kerajaan yang mengeluarkan syiling peringatan di Malaysia. Saya sendiri pernah bertanya secara terus dengan BNM melalui Facebook rasmi mereka mengenai khabar angin syiling peringatan panda:

Saya:
Ada info tak berkenaan dengan syiling peringatan yang telah ada didalam perancangan BNM untuk tahun 2014? Mohon kerjasama tuan untuk memberikan sedikit info. Dengar khabar, syiling peringatan panda akan dikeluarkan? Ada beberapa orang pembaca blog saya yang berminat dengan syiling peringatan panda tersebut ingin mendapat penjelasan.
Sekian, terima kasih.

Bank Negara Malaysia | Central Bank of Malaysia (Official)
Ya, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling peringatan untuk tahun 2014.
Sebarang maklumat lanjut berkenaan pengeluaran duit syiling peringatan tersebut akan diumumkan kelak.

Bagi saya, adalah lebih baik jika admin Facebook BNM tersebut tidak menjawab soalan saya. Jawapan yang diberikan seolah-olah BNM tidak membaca soalan saya dan hanya memberikan jawapan yang secara umumnya semua orang pun tahu.

Saya menulis bukan bertujuan untuk menghentam BNM tetapi bertujuan untuk menegur cara dan tindakan mereka yang tidak mesra pelanggan. Saya memerlukan kerjasama mereka untuk mendapatkan maklumat. Saya menulis blog bertujuan untuk menyemai hobi mengumpul duit syiling dikalangan collector dan juga bukan collector. Secara tidak rasminya, saya membantu BNM untuk mempromosi syiling peringatan mereka apabila ianya dilancarkan.

Mungkin akibat daripada sikap collector sendiri yang membeli syiling peringatan BNM walau berapa buruk sekalipun rekabentuk syiling peringatan tersebut menjadikan BNM ego dan lupa bahawa kami adalah pelanggan mereka.

Saya memohon maaf kepada rakan-rakan yang bertanya pelbagai soalan kepada saya mengenai duit syiling peringatan 40 tahun hubungan dua hala Malaysia China, saya bukannya BNM. Anda boleh terus bertanya kepada mereka dan merasa sendiri betapa susahnya untuk mendapat maklumat daripada BNM.

Jika anda sudah mendapat jawapannya jangan lupa untuk berkongsi dengan rakan-rakan lain, terima kasih.