Rabu, 11 Jun 2014

Bagaimana anda mula mengumpul syiling?

Ingat lagi tak bagaimana anda mula mengumpul syiling sebagai hobi? Apakah sebabnya anda mula menceburi hobi ini? Siapakah yang menjadi inspirasi anda sehingga anda menjadi pengumpul syiling tegar? Hari ini saya nak bertanya soalan-soalan tersebut kepada rakan-rakan yang telah lama didalam hobi ini. Asyik-asyik tulis cerita untuk newbies pun boring juga kan?

hobi duit syiling

Saya sendiri mula mengumpul duit lama pada usia yang agak lewat di tahun 1992. Di usia 15 tahun, saya tidaklah serius sangat dengan hobi ini. Apabila saya terlihat ada saudara-mara yang menyimpan duit lama, saya bertanya dengan mereka jika saya boleh menyimpan duit lama tersebut. Selain daripada itu, kebanyakkan daripada duit lama yang saya ada adalah pemberian ibu bapa yang tahu saya berminat dengan hobi ini. Kehidupan keluarga saya pada waktu itu bukanlah senang, membeli duit syiling pada waktu itu tidak ada didalam kamus hidup saya. Saya bekerja sambilan sebagai pekerja katering untuk membeli wang kertas 10 dollar Malaya & British Borneo (duit kerbau). Walaupun wang kertas itu buruk sahaja, saya sampai sekarang masih menyimpannya. Saya berhenti mengumpul apabila saya mula belajar di ITM.

Saya minat pada duit syiling disebabkan oleh rekabentuknya yang menarik dan bagi saya setiap syiling itu ada ceritanya. Pada tahun 2000 apabila saya sudah mula bekerja di Pulau Pinang, saya ada terniat untuk bermula mengumpul secara serius. Pada waktu itu saya tidak tahu untuk bermula mengumpul syiling apa. Apa sahaja syiling yang saya rasa cantik dimata saya, saya akan beli dan simpan. Hanya setahun selepas itu, barulah saya memberi tumpuan untuk mengumpul duit syiling Straits Settlements dan Malaya.

Malangnya, pada waktu itu saya tidak mempunyai mentor langsung. Fokus utama saya pada masa itu adalah bagaimana untuk membeli duit lama pada harga yang murah untuk melengkapkan koleksi saya. Saya belajar bergaul dengan penjual duit lama di lorong kulit serta adakalanya saya ekori mereka secara diam selepas mereka habis berniaga untuk mendapat tahu dari mana mereka mendapatkan bekalan duit lama mereka. Saya telah kongsikan mengenai tempat mereka mendapatkan bekalan duit lama itu didalam artikel; Where to find coin in Malaysia.

Saya hanya mula berminat mengumpul duit syiling Malaysia apabila saya mula membuka blog ini pada tahun 2011. Penghujung tahun 2012, barulah saya berjaya melengkapkan siri duit syiling edaran. Kesemuanya dengan bantuan mentor dan juga sifu Dickson Niew yang membantu saya mendapatkan koleksi tersebut mengikut kemampuan yang saya ada.

Bagaimana dengan anda, Bagaimana anda mula mengumpul syiling? Bagaimana anda mula menceburkan diri didalam dunia numismatik? Setiap orang ada kisahnya yang tersendiri, sila kongsikan pengalaman anda sebagai panduan kepada pengumpul baru yang masih belajar bertatih didalam hobi ini. Apa yang anda dapat daripada hobi ini?