Selasa, 10 Jun 2014

Bukan semua masalah boleh dikongsi

Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan sama ada didunia realiti atau social media seperti Facebook yang selama ini banyak membantu saya berkongsi maklumat, pandangan dan idea untuk dikongsikan kepada anda semua. Namun, ada juga rakan-rakan yang tidak berpuas hati apabila masalah yang mereka hadapi tidak saya kongsikan didalam blog.

masalah

Sebagai penulis blog bukan bermakna saya akan kongsi kesemua perkara didalam blog. Ada perkara-perkara yang tidak saya kongsikan didalam blog ini kerana ianya bertujuan ke arah menyerang peribadi orang lain. Kebanyakkan serangan berbentuk peribadi itu adalah ke atas penjual duit lama. Walaupun ada diantara cerita tersebut setelah saya siasat dengan rakan-rakan lain adalah benar. Akibat daripada tidak ada bukti kukuh, saya tidak kongsikannya disini. Saya mohon maaf kepada rakan-rakan yang berkongsi cerita sedemikian. Kepada rakan-rakan lain, berhati-hati ketika menjalankan urusniaga. Jangan terlalu mudah percayakan seseorang hanya kerana beliau bermulut manis. Apabila timbul isu wang ringgit, mulut manis itu boleh bertukar menjadi pahit yang akan menyakitkan hati dan juga poket anda.

Pelbagai cerita dan ilmu yang saya dapat dari rakan-rakan semua, saya cuba olah dan kongsi sebaik mungkin. Ada di antara rakan yang mahu nama mereka di kongsikan didalam blog. Namun, kebanyakkan daripada mereka lebih suka berkongsi cerita tanpa sesiapa tahu yang ianya adalah daripada mereka. Didalam dunia numismatik ini, bukan semua orang mahu berkongsi ilmu, lebih-lebih lagi jika mereka tahu saya akan kongsikan ilmu mereka itu didalam blog-blog saya.

Sejak saya menulis blog, pelbagai pengalaman yang saya dapat. Ada juga cerita-cerita numismatik yang lucu, salah satu darinya telah saya kongsikan semalam di Facebook mengenai Jualan murah 1 Ringgit AAH (Ali Abul Hassan). Saya rasa tuan punya diri pun turut ketawa apabila membaca cerita tersebut.

Ada juga cerita yang berbentuk peribadi mengenai Malaysia Numismatic Society (MNS), walaupun saya tidak kongsikan didalam blog ini. Saya sampaikan kepada mereka melalui Sifu Dickson Niew. Saya seperti rakan-rakan yang lain juga berharap MNS akan menjadi lebih baik setiap tahun. Ramai tidak tahu apa masalah dan kekangan yang dihadapi oleh Persatuan Numismatik didalam banyak perkara.

Cerita dan pendapat mengenai Bank Negara Malaysia dan Muzium bagi saya perlu dikongsi kepada orang ramai supaya mereka sedar apa kesilapan yang mereka lakukan. Walau bagaimanapun, sebelum saya menyiarkan cerita dan pendapat tersebut, saya akan siasat terlebih dahulu.

Muzium adalah tempat yang biasanya menjadi tarikan pelancong, tempat pelancong mencari maklumat mengenai sejarah negara. Apabila muzium sendiri memberikan maklumat yang salah, bagi saya itu adalah sesuatu yang memalukan bagi kita kesemuanya sebagai rakyat Malaysia.

Menulis didalam blog bukan bermakna saya kebal daripada tindakan undang-undang. Mohon rakan-rakan semua faham.