Walaupun Syiling 50 sen 2006 bunga raya ini nampak buruk, pasti ramai collector tegar duit syiling Malaysia yang akan tertarik. Kepada bukan collector dan newbies, ini mungkin hanya duit syiling biasa yang bernilai 50 sen. Namun, kepada pengumpul duit lama, memilikinya ibarat satu mimpi yang tidak akan dapat digapai. Dah lama mencari, sebijik pun tak jumpa. Ceritanya adalah bagai satu misteri, sebab tidak ada sesiapa lagi yang pernah melihat duit 50 sen 2006 dengan mata kasar sendiri.
Menurut Buku katalog Steven Tan edisi ke-20, duit syiling ini dicetak oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 19,480,000 keping. Namun, sehingga artikel ini ditulis, tidak ada lagi berita mengenai collector yang menemui walau sekeping pun duit syiling ini. Jika anda ada melihatnya didalam blog atau apa sahaja medium iklan online seperti Mudah.my atau lelong.com.my, ianya adalah duit syiling palsu. Duit syiling palsu ini juga sudah mula diedarkan di Pasar Karat Kuala Lumpur. Harganya tidaklah murah dan rupa bentuknya jelas kelihatan palsu.
Kenapa tidak ada duit syiling ini yang keluar dari Kilang Wang BNM? Itu anda kena tanya BNM sendiri, hanya mereka yang ada jawapannya. Untuk makluman, BNM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai mintage atau jumlah pengeluaran duit syiling mereka setiap tahun. Semua collector terpaksa bergantung kepada buku katalog Steven Tan untuk mengetahui mintage dan duit syiling yang dikeluarkan untuk tahun tertentu.
Namun, tujuan saya menulis artikel ini supaya anda berhati-hati ketika membeli duit lama kerana duit syiling palsu untuk syiling ini sudah ada dipasaran pasar karat. Harga duit syiling palsu ini ditawarkan paling kurang pada harga 4 angka.
Kepada penjual duit lama, ingatlah menjual duit syiling Malaysia palsu dan mengatakan ianya adalah duit yang sebenar adalah satu kesalahan dibawah Kanun Keseksaan. Kalau nak makan dan tidur free dalam lokap, silalah terus menjual duit palsu ini.
Syiling 50 sen 2006 ini adalah di antara syiling yang mungkin tidak akan dapat kita simpan sebagai koleksi. Selain itu, set syiling tahun 1988 bunga raya yang kita lihat di Sasana Kijang itu juga adalah diantara syiling yang tidak mungkin akan kita miliki.
Kepada yang bertanya, duit didalam gambar ini bukan duit palsu yang saya maksudkan. Ini hanya ilustrasi dari saya menggunakan perisian photo editing untuk artikel ini.