Sabtu, 5 Januari 2013

Pereka duit syiling edaran Malaysia

Siapakah pereka duit syiling Malaysia? Ramai yang bertanya kepada saya berkenaan dengan perkara ini. Rasanya hampir semua pengumpul duit lama sudah mengetahui jawapannya. Kalau tak tahu tu mungkin pengumpul baru yang masih mencari ilmu.

Setahu saya, tidak ada kenyataan rasmi daripada Bank Negara Malaysia di websitenya tentang pereka duit syiling Malaysia. Apa yang ada adalah daripada akhbar lama dan informasi yang saya dapat dari mulut pengumpul duit lama yang lain. Seperti duit syiling Malaysia yang terbaru, tidak ada dinyatakan siapakah yang membuat rekabentuk duit syiling tersebut.

MALAYSIA COIN

Selain makluman kepada pengguna, ianya satu penghormatan kepada pereka duit syiling apabila namanya terukir pada syiling tersebut. Diharap, suatu hari nanti Bank Negara Malaysia akan mengubah dasar mereka untuk tidak mengumumkan pereka duit syiling Malaysia.

1. Pereka duit syiling Pattern Malaysia 1966.
Sebelum saya bercerita lebih lanjut tentang perkara ini, tahukah anda, pada asalnya rekabentuk duit syiling Malaysia yang pertama bukan duit syiling parlimen? Satu pertandingan telah di adakan untuk memilih rekabentuk duit syiling Malaysia yang pertama yang telah dimenangi oleh En. Michael Yong.

Syiling rekaannya mempunyai rekabentuk haiwan sebagai tema utama antaranya; Monyet Belanda, burung bangau, tapir, tenggiling, kijang dan burung merak. Malangnya, motif syiling rekaannya tidak digunakan sebagai duit syiling Malaysia.

Daripada khabar angin yang saya dengar, apabila Gabenor Bank negara ketika itu, Tun Ismail Mohd Ali berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan menunjukkan syiling tersebut, tunku berkata,"ini tidak boleh, nanti orang ingat kita makan haiwan ini, apa kata letakkan gambar bangunan Parlimen, ianya lebih sesuai kerana kita mengamalkan demokrasi berparlimen."

Betul atau tidak, ianya sudah menjadi sejarah. Hanya ada lebih kurang 4 set pattern coin ini didunia. Pada 31 Ogos 1989, Maybank telah memenangi satu set syiling pattern Malaysia 1966 ini pada harga USD$3500 pada acara lelongan di Numismex 1989,International Coin & Paper Money Auction & Exposition, Singapura.

Untuk cerita dan gambar duit syiling Malaysia tahun 1966 ini, anda boleh melawat blog Sifu Dickson Niew; Malaysia Unissued,Unrecorded Uniface Trial Pattern Coin Set.


2. Pereka duit syiling Parlimen Malaysia 1967.
Pernahkah anda melihat ukiran GC pada duit syiling Parlimen Malaysia? Cuba belek duit syiling parlimen yang anda ada dan lihat dibahagian bawah hujung bangunan parlimen sebelah kanan. Anda boleh melihat contoh gambar dan cerita mengenainya di entri sebelum ini; Huruf GC pada duit syiling parlimen. Ukiran huruf GC pada belakang duit syiling parlimen tersebut adalah initial untuk Geoffrey Colley, pereka duit syiling pertama Malaysia. Ada orang yang mengatakan bahawa ianya adalah "mint mark" tetapi sebenarnya ia hanyalah initial atau tanda ukiran perekanya.

Geoffrey Colley

Geoffrey Colley dilahirkan di Gillenham, United Kingdom pada tahun 1934. Beliau telah banyak menghasilkan rekabentuk untuk duit syiling terutamanya ditahun 1970an. Selain duit parlimen Malaysia, beliau juga ada menghasilkan rekabentuk untuk syiling Bahrain, Iceland, Iraq, Nigeria, Rwanda, Trinidad & Tobago dan United Arab Emirates. Pada tahun 1960 beliau telah dipilih untuk menjadi ahli Persatuan Diraja Pengukir Bersatu British dan menjadi Fellow persatuan itu pada tahun 1970. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai beliau dan melihat gambar-gambar beliau di blog saya; Malaysia 1st series coin designer.


3. Pereka duit syiling Bunga Raya Malaysia 1989.
Tidak banyak yang diketahui tentang pereka duit syiling Malaysia siri kedua ini tetapi daripada keratan akhbar ada dinayatakan yang rekabentuk syiling ini adalah berdasarkan kepada rekaan En. Low Yee Kheng pemenang pertandingan rekabentuk duit syiling nasional pada tahun 1987 (National coin design competition) yang di anjurkan oleh Bank Negara Malaysia. 

Dari cerita yang saya dengar, beliau adalah seorang pensyarah di Kolej seni swasta terkenal di Malaysia. Saya tidak dapat pastikan kolej yang mana satu. Namun, jika anda ada maklumat yang lebih lengkap mengenainya, sila beritahu saya. Jika En. Low Yee Kheng sendiri terbaca entri ini, diharap tuan boleh mengesahkan perkara ini dan mungkin boleh bercerita serba sedikit tentang kemenangan tuan didalam pertandingan tersebut. 


4. Pereka duit syiling baru 2012.
Tidak ada sebarang maklumat yang saya temui berkenaan pereka duit syiling terbaru ini. Walaupun ianya mengalami beberapa kontroversi yang bagi saya sengaja di ada-adakan, rekaan duit syiling terbaru ini adalah yang tercantik bagi duit syiling Malaysia setakat ini. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh BNM sebelum ini mengenai pelancaran duit syiling ini tidak dinyatakan mengenai perekanya.


Ini antara sejarah numismatik yang tidak ada direkodkan didalam buku-buku sejarah. Mungkin bagi Bank Negara sendiri, siapa pereka duit syiling itu tidak penting tapi bagi pengumpul duit lama, ianya antara salah satu perkara yang menjadi sebutan.