Rabu, 5 Mac 2014

Peniaga online perlu daftar perniagaan

Tahukah anda Peniaga online perlu daftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)? Tidak mendaftarkan perniagaan anda adalah satu kesalahan dan anda boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

kedai online

Mana-mana peniaga online yang melakukan urusniaga di Facebook, Mudah.my, website, blogspot dan apa-apa sahaja medium pengiklanan online wajib mendaftar dengan SSM walaupun anda hanya berniaga dari rumah, secara sambilan serta tidak mengaut keuntungan yang banyak.

Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada unsur penipuan pembelian secara online selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan. Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.

Anda boleh mendaftar perniagaan anda dibawah Pendaftaran Perniagaan-Registration of Business (ROB) atau Pendaftaran Syarikat-Registration of Company (ROC).

Untuk pendaftaran perniagaan, anda boleh memilih pandaftaran perniagaan tunggal/perseorangan ataupun perkongsian. Ianya juga lebih dikenali sebagai syarikat enterprise. Anda boleh pergi ke pejabat SSM terdekat untuk mendaftar atau melalui perkhidmatan online e-Lodgement. Anda akan memperolehi Sijil Pendaftaran Perniagaan dalam masa 1 jam.
Bayaran yuran tahunan:
Nama Tred (Perlu Kelulusan Nama Perniagaan) – RM60 setahun
Nama sendiri (nama sendiri seperti di kad pengenalan)- RM30 setahun
Cawangan - RM5 setahun bagi setiap cawangan .

Untuk Pendaftaran Syarikat, proses pendaftaran adalah sedikit rumit. Anda memerlukan sekurang-kurangnya dua pengasas kepada syer syarikat, dua pengarah dan Setiausaha syarikat ( berlesen dengan SSM atau ahli badan professional). Syarikat berhad dengan syer boleh diperbadankan sebagai syarikat persendirian (mempunyai perkataan ‘Sendirian Berhad’ atau ‘Sdn. Bhd.’ pada nama syarikat) atau syarikat awam (mempunyai perkataan ‘Berhad’ atau ‘Bhd’ pada nama syarikat). Yuran tahunannya adalah bergantung kepada Modal dibenarkan dan Fee/yuran bermula dari RM1,000 sehingga RM70,000.

Seperti yang saya katakan didalam artikel mengenai GST-Goods and Services Tax. Peniaga online juga perlu mematuhi Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang mula dikuatkuasa pada 1 Julai 2013. Anda perlu memaparkan informasi berkaitan syarikat anda pada laman jualan (Nama anda, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, Alamat email, No. telefon, Harga terperinci barangan dan kos berkaitan, kaedah pembayaran, anggaran masa penghantaran barangan etc), ini untuk membolehkan pembeli mengetahuinya dengan mudah. Selain itu, anda juga perlu menyimpan data pembekal anda sekurang-kurangnya selama 2 tahun.

Menurut kenyataan akhbar, pada tahun 2010 sebanyak 400 kes sudah dibawa ke Mahkamah kerana berniaga tanpa pendaftaran sah dan didakwa dibawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001).

Kepada kawan-kawan yang mempunyai "Kedai Online" tidak kiralah di Facebook, Mudah.my atau juga blog dan website, perlu pastikan ianya adalah berdaftar untuk mengelakkan anda dikenakan sebarang tindakan. Berdaftar juga bermakna anda berpeluang untuk mendapatkan subsidi dan geran daripada kerajaan secara percuma. Sebagai contoh, Pada tahun lepas, SKMM ada menyediakan geran sebanyak RM1,000 kepada peniaga wanita yang mempunyai kedai online.

Anda juga boleh membaca lebih lanjut mengenai Peniaga online perlu daftar perniagaan di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di www.ssm.com.my.