Sunday, February 23, 2014

Apa itu GST-Goods and Services Tax?

Apa itu GST-Goods and Services Tax? Adakah anda tahu pengumpul dan penjual duit lama juga tidak boleh lari daripada GST? Semasa pembentangan budget 2014, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan cukai GST sebanyak 6% akan mula dilaksanakan pada 1 April 2015.

Malaysia GST

Apa itu GST
GST (Goods and Services Tax) atau lebih dikenali di Eropah sabagai VAT (Value Added Tax) mula diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré, untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu berkesan.

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang. GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai.

Pada 29 November 2009, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataannya telah mendakwa kerajaan akan memperoleh pendapatan cukai tahunan sebanyak RM 1 bilion dari GST. 

Lebih daripada 160 negara telah melaksanakan GST (Goods and Services Tax) ini menunjukkan sistem percukaian GST adalah "telus, berkesan dan sistem cukai yang adil."

Pada ketika ini, jabatan-jabatan kerajaan yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan GST berusaha memberikan penerangan dan kesedaran kepada pengguna tentang GST (Kementerian Kewangan, Kastam Diraja Malaysia etc).

Mana-mana perniagaan yang belum didaftarkan akan diminta untuk membuat pendaftaran dibawah Kastam Diraja Malaysia sebagai badan pelaksana GST.


Bagaimana GST dilaksanakan
Menurut Laporan akhbar Pengarah Projek GST, En. Ezleezan Othman, Konsep GST dikenakan setiap peringkat iaitu dari pengilang, pemborong, peniaga dan pengguna. Pada setiap peringkat itu, peniaga boleh menuntut balik GST daripada kerajaan sebab GST merupakan cukai ke atas penggunaan.

Peniaga tidak guna barang itu. Sebagai contoh, mereka beli kerusi dan meja menjadi sebahagian daripada input perniagaan mereka. Jadi, apa jua GST yang dibayar ke atas meja ini, kita benarkan mereka tuntut balik.

Cara tuntutan itu dikira berdasarkan ‘offset’ (penolakan) antara cukai yang dikutip daripada pelanggan dengan cukai yang dibayar perantara (pengilang, pemborong dan peniaga).

Sekiranya ada lebihan, perantara tidak boleh tuntut, tetapi mereka kena bayar kepada kerajaan, begitu juga sebaliknya.

Contohnya, jumlah cukai yang dikutip daripada pelanggan ialah RM1,000, manakala cukai yang peniaga bayar ialah RM500. Ini bermakna ada lebihan RM500 dan mereka perlu bayar jumlah ini kepada kerajaan. Sekiranya ‘offset’ itu didapati negatif, kerajaan yang bayar balik kepada mereka.

Pengguna hanya perlu bayar apa sahaja GST yang dikenakan peniaga dan tidak boleh tuntut daripada kerajaan. Konsep ini sama seperti di Eropah, tetapi ia dipanggil ‘Value Added Tax’ (VAT).

Hanya perniagaan yang mempunyai jualan tahunan (threshold) RM500,000 setahun dikenakan GST. Perniagaan itu mesti berdaftar dengan Jabatan Kastam. Mereka tidak boleh lari. Contohnya, kedai mamak yang jual nasi kandar, jika jualan tahunannya RM500,000, baru boleh kenakan GST enam peratus kepada pelanggannya.

Sumber, Sinar harian, 20 November 2013.


Barangan & Perkhidmatan yang dikecualikan GST
GST adalah cukai untuk pengguna, ianya akan dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan. Namun, ada beberapa barangan dan perkhidmatan yang akan dikecualikan daripada GST antaranya adalah barangan makanan asas (beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempas ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan), Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna, Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan (pengeluaran pasport, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah), Perkhidmatan pengangkutan (bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya), Jual beli dan sewa rumah kediaman serta beberapa Perkhidmatan kewangan terpilih.


Adakah semua perniagaan perlu berdaftar di bawah GST?
Perniagaan yang telah mencapai nilai jualan tahunan RM500,000 setahun diwajibkan untuk mendaftar dibawah GST. Perniagaan yang tidak mencapai nilai jualan tahunan yang dinyatakan diatas tidak perlu mendaftar dibawah GST. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela.


Kesimpulan
Pada pendapat saya, kebanyakan daripada kedai duit lama di Lembah Klang mencapai nilai jualan tahunan RM500,000 setahun dan akan dikenakan GST. Mereka tidak boleh lari sebab pegawai kerajaan akan datang ke premis untuk membuat siasatan sama ada kedai tersebut akan dikenakan GST. Peniaga-peniaga kecil sama ada online ataupun dipasar karat mungkin hanya sedikit sahaja yang akan dikenakan GST kerana nilai jualan yang kecil.

Oleh itu, ada kemungkinan besar harga barangan duit lama akan meningkat sebaik GST dilaksanakan pada 1 April 2015.

Walau bagaimanapun, untuk peniaga online, anda perlu mematuhi Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang mula dikuatkuasa pada 1 Julai 2013. Anda perlu memaparkan informasi berkaitan syarikat anda pada laman jualan (Nama anda, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, Alamat email, No. telefon, Harga terperinci barangan dan kos berkaitan, kaedah pembayaran, anggaran masa penghantaran barangan etc), ini untuk membolehkan pembeli mengetahuinya dengan mudah. Selain itu, anda juga perlu menyimpan data pembekal anda sekurang-kurangnya selama 2 tahun.


Sumber: Kementerian Kewangan.