Isnin, 7 Oktober 2019

Set syiling Hidupan Liar 1976 dilelong RM40,089

Satu set duit syiling Pemuliharaan Hidupan Liar 1976 dilelong pada harga RM40,089 (termasuk premium pembeli) didalam satu acara lelongan awam oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Hotel Landmark Village, Singapura pada 5 Oktober 2019. Set 3 keping duit syiling tersebut (Lot 0284) dilelong bersama-sama dengan kotak serta sijil pengesahannya yang asal didalam acara lelongan CAA 14/2019.

syiling wwf

Set duit syiling Pemuliharaan Hidupan Liar 1976 mempunyai 3 denominasi duit syiling Pemuliharaan Hidupan Liar 1976; 15 ringgit Seladang, 25 ringgit Enggang dan 500 ringgit Cipan. Syiling yang dilelong tersebut belum lagi digred oleh mana-mana syarikat pengredan duit syiling.

Untuk Siri Pemuliharaan Hidupan Liar 1976, Royal Mint UK bersama-sama dengan WWF (World Wildlife Fund) dan IUCNNR (Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli) mengeluarkan koleksi 12 keping syiling pruf perak, dua keping dari setiap enam negara yang berbeza (Malaysia, Mongolia, Pakistan, Sudan, Venezuela & Zaire).

Harga lelongan RM40,089 tersebut memastikan duit syiling itu memasuki Senarai Top 16 Duit Syiling termahal Malaysia yang pernah dilelong didalam acara lelongan awam. Kali terakhir syiling terbaru memasuki senarai tersebut lebih kurang 2 tahun yang lalu.

Selain itu, sekeping duit syiling 50 sen Milled Edge (lot 0317) yang mendapat gred MS 62 daripada Numismatic Guaranty Corporation (NGC) turut dilelong pada harga RM9,475 (termasuk premium pembeli) didalam acara lelongan yang sama.

Sekeping wang kertas terbesar dunia, Wang kertas peringatan RM600 sempena memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 berjaya dilelong pada harga RM8,017 (termasuk premium pembeli). Wang kertas dengan nombor siri MRR0002190 tersebut mempunyai gred Uncirculated.

Sementara itu, sekeping syiling Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2016 5 Ringgit kemasan kilat (mirip pruf) dilelong pada harga RM3,645. Duit syiling yang mempunyai mintage sebanyak 130 keping (untuk mirip pruf) tersebut mendapat label 1st releases dan digred PL 69 RD oleh Numismatic Guaranty Corporation (NGC).