Ahad, 22 September 2019

Wang kertas Malaysia ada lemak babi?

2 hari yang lepas, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Zhari Ismail daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, mendakwa beliau mendapat maklumat wang kertas di negara ini dipercayai mengandungi lemak babi. Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada pemain industri itu sendiri yang mendakwa ada menggunakan lemak babi dalam proses menghasilkan wang kertas negara.

Wang kertas

“Ada penggunaan lemak babi dalam pembuatan percetakan wang kertas. Ini kita perlu berita rasmi yang laporan mengenai perkara ini, jadi ini dakwaan dan kita kena ada pengesahan bahawa dakwaan itu benar atau tidak.

“Kalau tanya orang yang terlibat dalam pencetakan wang kertas, memang mereka guna lemak babi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zhari berkata demikian setelah menjadi ahli panel dalam program Diskusi Isu-isu Syariah ‘Vaksin menurut Islam’ di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, semakan dan penelitian ke atas wang kertas perlu dilakukan terlebih dahulu menerusi analisis makmal.

"Jika sekadar satu dakwaan dan kenyataan, ia perlu kepada penelitian yang kukuh. Saya yakin kerajaan akan mengambil tindakan terbaik dalam menangani perkara ini.

"Buat masa ini, saya tidak mahu ulas apa-apa lagi, namun (wang kertas mengandungi lemak babi) mesti didatangkan dengan bukti dan dalil serta disahkan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pada program Konvensyen Rahmah Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) semalam sepertimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Betulkah wang kertas Malaysia ada lemak babi?

Wang kertas yang mana satukah yang dikatakan ada lemak babi? Semua wang kertas Malaysia?

Didalam laporan awal yang dikeluarkan oleh Malaysia Gazette, tidak ada dinyatakan secara spesifik wang kertas yang mana dikatakan mengandungi lemak babi. Laporan juga tidak menyebut secara spesifik siapakah pemain industri yang dimaksudkan oleh Prof Dr. Zhari Ismail.

Namun, ahli numismatik Malaysia secara umumnya tahu, wang kertas polimer 5 Ringgit dibuat oleh Reserve Bank of Australia. Reserve Bank of Australia pernah mengeluarkan kenyataan pada Oktober 2018 seperti yang dikaporkan oleh News.com.au, wang kertas yang dikeluarkan oleh mereka menggunakan kurang dari 1% tallow. Tallow adalah bahan yang keras dan lemak yang diperbuat daripada lemak haiwan, yang biasanya digunakan untuk membuat sabun dan lilin.

Namun, tallow ini tidak semestinya daripada lemak babi, ianya juga boleh diperolehi daripada kambing dan lembu. Lemak keras tersebut terdapat di sekitar ginjal, perut dan organ-organ lain.

Tallow digunakan untuk wang kertas polimer untuk memastikan wang kertas licin dan memudahkan ianya dimasukkan ke dalam dompet anda.

Cerita wang kertas Malaysia mengandungi lemak babi sebenarnya telah dilaporkan oleh Project Nightfall di Facebook sejak 20 Oktober 2018.

Setakat ini tiada lagi laporan atau kenyataan akhbar daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan dengan kandungan lemak haiwan pada wang kertas Malaysia. 

Pada tahun 2017, walaupun mendapat bantahan keras daripada aktivis haiwan dan vegetarian, Bank of England memutuskan untuk berpegang kepada duit kertas plastik yang menggunakan lemak haiwan.