Khamis, 10 Oktober 2019

RUU Mata Wang 2019, apa impaknya kepada numismatik?

Pada 7 Oktober 2019, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah membentangkan buat kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019 di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof di Parlimen. Apakah impaknya RUU Mata Wang 2019 ini kepada numismatik?

RUU Mata Wang 2019

Antara peruntukan utama yang hangat dibincangkan ialah; Mana-mana pihak yang didapati bersalah mengeluar, mencetak atau menempa mata wang Malaysia tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM), boleh didenda tidak melebihi RM50 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pada masa ini, perbuatan penyalinan atau pengeluaran semula mata wang kertas dan duit syiling Malaysia tanpa kebenaran BNM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Antara peruntukan lain dalam RUU Mata Wang 2019 adalah tiada sesiapa pun boleh menggunakan sebarang gambar, lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau syiling dalam apa juga penerbitan dan dalam apa-apa saiz, skala atau warna tanpa diluluskan oleh BNM. Jika disabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pengurusan mata wang Malaysia oleh Bank Negara Malaysia, pengawalseliaan perniagaan pemprosesan mata wang dan aktiviti pemprosesan mata wang dan bagi perkara yang berkaitan.

Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019:
Jika anda membaca RUU Mata Wang 2019 (https://www.parlimen.gov.my/files/billindex/pdf/2019/DR/D.R%2029_2019%20-%20bm.pdf), ada beberapa peruntukan didalam RUU tersebut yang jelas berkaitan dengan numismatik.

“perniagaan pemprosesan mata wang” ertinya —
(a) perniagaan—
(i) mengumpul mata wang kertas atau mata wang syiling;
(ii) mengisih mata wang kertas atau mata wang syiling mengikut ketulenan dan kualiti; dan
(iii) membungkus mata wang kertas atau mata wang syiling mengikut kualiti, kuantiti dan denominasi;

oleh seseorang bagi atau bagi pihak orang lain; atau
(b) apa-apa aktiviti yang diisytiharkan sebagai suatu perniagaan pemprosesan mata wang di bawah seksyen 23.


Jualan mata wang
11. (1) Bank boleh, bagi maksud mempromosikan ilmu numismatik, menjual mata wang kertas atau mata wang syiling pada suatu harga selain nilai mukanya.
(2) Apa-apa hasil daripada jualan mata wang kertas atau mata wang syiling menurut subseksyen (1) hendaklah dianggap sebagai suatu pendapatan kepada Bank.

Fasal 11 memperuntukkan bahawa Bank boleh, bagi maksud mempromosikan ilmu numismatik, menjual mata wang kertas atau mata wang syiling pada suatu harga selain nilai mukanya. Apa-apa hasil daripada jualan mata wang kertas atau mata wang syiling dianggapkan sebagai suatu pendapatan kepada Bank.


Larangan mengeluarkan, mencetak atau menempa mata wang
18. (1) Tiada seorang pun boleh mengeluarkan, mencetak atau menempa atau membenarkan pengeluaran, pencetakan atau penempaan, apa-apa nota, syiling, token, dokumen atau instrumen, sama ada ketara atau tidak ketara, yang berkemungkinan dikatakan sebagai sah diperlakukan melainkan nota, syiling, token, dokumen atau instrumen itu didenominasikan dan disandarkan sepenuhnya kepada ringgit atau mata wang asing.
(2) Bagi maksud subseksyen (1)—
(a) suatu nota, syiling, token, dokumen atau instrumen berkemungkinan dikatakan sebagai sah diperlakukan, jika nota, syiling, token, dokumen atau instrumen itu memenuhi semua ciri yang berikut:
(i) nota, syiling, token, dokumen atau instrumen itu boleh dibayar kepada seseorang pembawa atau
pemegang atas permintaan atau apabila diserahkan;
(ii) nota, syiling, token, dokumen atau instrumen itu digunakan secara meluas di Malaysia bagi
maksud pembayaran kepada mana-mana orang selain pengeluar nota, syiling, token, dokumen
atau instrumen itu; dan
(iii) nota, syiling, token, dokumen atau instrumen itu mempunyai nilai selain nilai intrinsiknya;
(b) “mata wang asing” ertinya apa-apa nota, syiling, token, dokumen atau instrumen, sama ada ketara atau tidak ketara, yang sah diperlakukan di mana-mana negara, wilayah atau tempat di luar Malaysia dan termasuklah apa-apa hak untuk menerima nota, syiling, token, dokumen
atau instrumen itu; dan
(c) “mengeluarkan” ertinya perbuatan menyediakan bagi kegunaan mana-mana orang awam.
(3) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Fasal 18 melarang mana-mana orang daripada mengeluarkan, mencetak atau menempa atau membenarkan pengeluaran, pencetakan atau penempaan apa-apa nota, syiling, token, dokumen atau instrumen, sama ada ketara atau tidak ketara, yang berkemungkinan dikatakan sebagai sah diperlakukan melainkan ia didenominasikan dalam dan disandarkan sepenuhnya oleh ringgit atau mata wang asing. Fasal ini juga menyenaraikan ciri-ciri suatu nota, syiling, token, dokumen atau instrumen yang berkemungkinan dikatakan sebagai sah diperlakukan. Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.


Sekatan ke atas penggunaan gambar, lukisan atau reka bentuk mata wang dalam penerbitan, dsb.
19. (1) Tiada seorang pun boleh, melainkan jika diluluskan oleh Bank—
(a) menggunakan apa-apa gambar atau apa-apa lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau mata wang syiling atau mana-mana bahagian daripadanya, dalam apa-apa penerbitan dalam apa-apa saiz, skala atau warna; atau
(b) mengimport, membuat, menjual, mengedar atau selainnya mengagih apa-apa dagangan atau produk yang mengandungi suatu gambar, lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau mata wang syiling atau
mana-mana bahagian daripadanya dalam apa-apa saiz, skala atau warna.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1), melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit.

Fasal 19 bertujuan untuk menyekat mana-mana orang daripada menggunakan apa-apa gambar atau apa-apa lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau mata wang syiling atau mana-mana bahagian daripadanya, dalam apa-apa penerbitan, atau mengimport, membuat, menjual, mengedar atau selainnya mengagih apa-apa dagangan atau produk yang mengandungi gambar, lukisan atau apa-apa reka bentuk itu atau apa-apa bahagian daripadanya, melainkan dengan kelulusan Bank. Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit.


Larangan melebur mata wang syiling
20. (1) Tiada seorang pun boleh, dengan niat untuk mendapatkan keuntungan, melebur apa-apa mata wang syiling melainkan jika diberi kuasa oleh Bank.
(2) Bank boleh, dalam memberi apa-apa kuasa di bawah subseksyen (1), mengenakan apa-apa syarat atau sekatan yang difikirkan patut oleh Bank.
(3) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (2), melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan—
(a) dalam hal seorang orang sebenar, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; atau
(b) dalam hal suatu pertubuhan, yang diperbadankan atau yang tidak diperbadankan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit.

Fasal 20 bertujuan untuk melarang seseorang daripada melebur apa-apa mata wang syiling dengan niat untuk mendapatkan keuntungan melainkan diberi kuasa oleh Bank.


Apa impaknya kepada numismatik?
Didalam Bahagian Tafsiran, “perniagaan pemprosesan mata wang” termasuklah perniagaan mengumpul mata wang kertas atau mata wang syiling, adakah ini bermakna, penjualan mata wang Malaysia selepas ini perlu berdaftar dengan BNM?

Adakah Larangan mengeluarkan, mencetak atau menempa mata wang dibawah Fasal 18 nanti akan menyebabkan pengeluaran token dan medallion oleh syarikat swasta terhad kepada syarikat yang mendapat kelulusan daripada BNM sahaja?

Bagaimana dengan isu sebelum ini, Warga numismatik menghadapi kesukaran untuk menerbitkan buku numismatik berkaitan Mata Wang Malaysia kerana BNM tidak lagi membenarkan tandatangan gabenor BNM pada wang kertas dikongsikan didalam buku. Selain tulisan "CONTOH" atau "SPECIMEN", penerbit juga diminta untuk memadam tandatangan gabenor dan juga tulisan "WANG KERTAS INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI". Anda boleh baca dalam artikel kami sebelum ini; Maklumat numismatik yang wajar dikongsi BNM.

Semua itu adalah perkara-perkara penting yang membezakan nilai sesuatu wang kertas. Alasan wang kertas palsu boleh dibuat daripada gambar wang kertas yang diterbitkan pada buku sudah ketinggalan zaman. Sekatan ke atas penggunaan gambar, lukisan atau reka bentuk mata wang dalam penerbitan, dsb. sedikit sebanyak menyukarkan warga numismatik berkongsi ilmu dan menerbitkan buku numismatik.

Akhirnya, warga numismatik memilih untuk menerbitkan buku numismatik Malaysia secara haram.

Adakah sekatan tersebut juga turut melibatkan perkongsian yang dilakukan didalam blog dan laman web?

Pendapat anda?