Isnin, 15 Julai 2019

Wang kertas 5 Ringgit dengan lambang Iblis

Setiap tahun ada saja orang yang berkongsi semula gambar watermark wang kertas 5 Ringgit dengan lambang syaitan atau iblis di Facebook. Apabila dua helai wang kertas 5 Ringgit digabungkan secara bertentangan pada watermark wang kertas itu, gambar iblis akan kelihatan.

5 Ringgit

Ada yang mendakwa wang kertas Ringgit tersebut direka oleh penyembah syaitan dan mesej tersembunyinya adalah amalan riba pada wang kertas akan menjatuhkan ekonomi negara.

Jika anda masih ingat, sewaktu duit syiling siri baru mula-mula diperkenalkan pada tahun 2012, golongan-golongan ini juga ada menimbulkan isu yang lebih kurang sama, syiling 10 sen dengan lambang israel.

Selain wang kertas 5 Ringgit, wang kertas polymer 1 Ringgit digabungkan secara bertentangan pada watermark wang kertas tersebut akan menjadi gambar mata "Eye of Providence".

Golongan-golongan yang fobia dengan illuminati, freemason dan sebagainya ini wujud dimana-mana sahaja di dunia ini.

Setiap apa yang ada disekeliling mereka akan dikaitkan dengan illuminati atau freemason.

Kaitkan Freemason dan illuminati dengan agama Islam sudah pasti ramai penyokong yang akan berdiri dibelakang mereka-mereka ini menyokong apa yang diperjuangkan. Walaupun penyokong-penyokong ini tidak tahu atau tidak faham apa sebenarnya yang diperjuangkan.

Tambah lagi dengan perkataan "agenda zionist" atau "agenda Israel", penyokong mereka akan bertambah ramai, menentang "agenda-agenda" tersebut.

Itulah tujuan golongan-golongan yang fobia dengan illuminati dan freemason ini menyebarkan cerita wang kertas 5 Ringgit dengan lambang syaitan atau iblis di Facebook, untuk mendapatkan sokongan.

Terpulang kepada anda untuk menyokong mereka atau berdiam diri.

Isu-isu sebegini tidak akan berhenti, setiap kali ada duit syiling atau wang kertas baru, golongan ini akan mencari peluang mengaitkannya dengan toeri mereka.