Khamis, 4 Julai 2019

Syiling berwarna pertama Malaysia

Tahukah anda, duit syiling berwarna pertama Bank Negara Malaysia (BNM) dikeluarkan sempena ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia? Syiling yang dikeluarkan pada tahun 2013 itu memaparkan imej Jalur Gemilang yang berwarna di bahagian tengahnya.

Syiling berwarna

Duit syiling 50 tahun Hari Malaysia itu dibuat daripada perak tulen dengan jumlah keluaran sebanyak 10,000 keping.

Ianya mula dijual pada 17 September 2013 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Selain syiling perak dengan nilai denominasi 10 Ringgit itu, Bank Negara Malaysia juga mengeluarkan syiling 1 Ringgit emas nordic dan syiling 100 Ringgit emas tulen; kedua-duanya bukan syiling berwarna.

Tiada maklumat rasmi sama ada ianya dikeluarkan di Kilang Wang Shah Alam atau dari luar negara.

Namun, maklumat khabar angin yang kami terima ianya dibuat di Kilang Wang Singapura.

Sedikit sejarah mengenai duit syiling berwarna, duit syiling edaran berwarna yang pertama di dunia dikeluarkan oleh Royal Canadian Mint pada tahun 2004. Duit syiling 25 cent itu yang lebih dikenali sebagai The Poppy Coin kerana bunga popi berwarna merah yang menjadi imej utamanya. Bunga popi merah melambangkan pengorbanan mereka yang berjuang di Perang Dunia pertama. Hampir 30 juta syiling tersebut dikeluarkan pada 21 Oktober 2004.