Selasa, 9 Julai 2019

Kisah Duit Bunian RM1 Aishah

Kisah wang kertas 1 Ringgit yang dikatakan ditandatangani oleh Raja Permaisuri Agong XI, Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah. Ianya adalah wang kertas yang dicari-cari oleh ahli numismatik dan juga pengamal ilmu mistik. Kisah duit bunian 1 Ringgit Aishah ini agak menarik kerana ramai bukan collector yang masih tidak tahu cerita sebenar.

1 Ringgit Aishah

Tandatangan yang dikatakan oleh Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah sebenarnya adalah tandatangan Allahyarham Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang ke-6.

Dari mana datangnya kisah duit bunian untuk wang kertas 1 Ringgit ini?

Mungkin tidak ada catatan secara rasmi mengenai wang kertas ini dan ianya mempunyai jumlah yang sedikit berbanding wang kertas biasa. Oleh yang demikian, penjual-penjual mistik mengambil kesempatan untuk mempromosikannya sebagai duit bunian kerana agak sukar dilihat.

Ada yang menjualnya sehingga lebih dari RM200,000 sekeping sebagai ibu duit.

Cerita tidak rasmi numismatik, wang kertas RM1 Ali Abul ini terlepas didalam edaran semasa mula-mula Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjadi Gabenor BNM ke-7 pada May 2000.

Edaran wang kertas itu dikatakan bermula Pulau Pinang, dimana kesilapan berlaku apabila pejabat disana tidak mendapat arahan mengenai pengedaran wang kertas bertandatangan Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan, sedangkan didalam masa yang sama, wang kertas bertandatangan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam proses untuk edaran.

Khabar angin numismatik, 50,000 keping "wang kertas RM1 Aishah" dikeluarkan untuk edaran secara tidak sengaja dan ianya dikatakan bermula dari prefix CR7200001 hingga CR7249999.

Untuk mengelakkan wang kertas itu tersilap edar dimasa hadapan, bakinya didalam bilik kebal dikatakan dilupuskan. Kesemua wang kertas yang ditemui didalam edaran oleh bank-bank komersial ditarik balik untuk dilupuskan.

Pada waktu itu, cerita pelupusan "wang kertas RM1 Aishah" menjadikan harga wang kertas itu meningkat secara mendadak. Ramai collector yang mencari wang kertas tersebut walaupun ianya dijual pada harga beribu sekeping.

Itu cerita Kisah Duit Bunian RM1 Aishah dari rakan-rakan numismatik, kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Berapa harga wang kertas itu sekeping ketika ini?

Mesti ramai bukan collector yang tertanya soalan sebegitu kan?

Biarlah anda cari sendiri berapakah nilai pasaran "wang kertas RM1 Aishah" yang sukar ditemui dan digelar sebagai duit bunian ini.