Khamis, 17 Januari 2019

Selebriti Media Sosial wajib bayar cukai pendapatan

Bernama hari ini melaporkan, Selebriti Media Sosial (Instafamous, Facebook pages, Twitter dan Blogger) wajib bayar cukai pendapatan termasuklah golongan bawah umur. Selebriti media sosial yang memperoleh pendapatan daripada ulasan berbayar, sokongan jenama dan perniagaan yang dijalankan menerusi media sosial, tertakluk kepada cukai pendapatan, jika mereka memperoleh pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

media sosial

Aktiviti penjanaan pendapatan sedemikian dikategorikan sebagai profesion, dan oleh itu mereka yang terlibat perlu mengisytiharkan pendapatan, dan dibenarkan menuntut perbelanjaan perniagaan dan pembayaran balik cukai, jika berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Sabin Samitah berkata individu terbabit digalakkan datang ke pejabat LHDN untuk mendapatkan nasihat mengenai pengisytiharan pendapatan dan pengiraan cukai.

"Kami menggunakan medium seperti televisyen dan radio untuk sampai kepada mereka, malah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk pergi ke sekolah dan universiti bagi mewujudkan kesedaran mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita pada Program Pemberitahuan Sukarela Khas (SVDP), seminar yang dianjurkan oleh Institut Akauntan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut pegawai LHDN, lembaga itu akan dapat mengesan individu yang gagal mengisytiharkan pendapatan mereka apabila syarikat-syarikat yang membayar untuk perkhidmatan selebriti Internet terbabit mengisytiharkannya cukai syarikat masing-masing dan berkongsi maklumat mengenai duta atau vendor yang mereka upah.

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, kanak-kanak bawah umur yang mendapat pendapatan dalam jumlah yang dikenakan pendapatan, juga tertakluk kepada bayaran cukai.

Bagi kes seumpama itu, ibu bapa atau penjaga masing-masing perlu mengisytiharkan pendapatan yang diperoleh oleh anak-anak di bawah umur, bagi pihak mereka.

Sementara itu, Sabin berkata berikutan pelancaran program SVDP pada 2 Nov tahun lepas, LHDN mengeluarkan 3.5 juta e-mel dan 4.7 juta surat kepada pembayar cukai berdaftar.

"Surat dan e-mel itu bertujuan memaklumkan kepada pembayar cukai. Ini adalah inisiatif oleh kerajaan baharu seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Cukai," katanya.