Khamis, 22 November 2018

Tiada syiling BNM beralih kepada wang peringatan swasta?

Tanpa kehadiran syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tahun 2018, dunia numismatik diwarnai dengan medallion peringatan dan wang kertas peringatan daripada Kilang Wang Swasta.

Mahathir Gold Note

Kemenangan Pakatan Harapan dan perlantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 sekurang-kurangnya digunakan oleh Kilang Wang Swasta dan juga penjual barangan emas serta perak di negara ini sebagai salah satu cara untuk menarik pengumpul numismatik membeli produk mereka.

Walau pun ramai yang berharap syiling peringatan rasmi dari BNM dengan potrait Tun Dr Mahathir dikeluarkan untuk tahun ini, nampaknya ia tidak menjadi kenyataan setakat ini.

Rakan Facebook, Tuan Aaron Paul Ang ada bertanya dengan kami di Facebook page, wang baru apa yang dikumpul oleh rakan-rakan numismatik semasa BNM tidak mengeluarkan wang peringatan, rasanya ada juga rakan numismatik yang terjebak dengan produk medallion peringatan dan wang kertas peringatan swasta.

Walau pun tanpa syiling peringatan, tahun 2018 menyaksikan BNM mengeluarkan Medalion Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29. Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 telah pun berlangsung pada 22 Oktober 2018 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Namun, tiada jualan Medalion atau kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Bernama melaporkan terdapat 5 jenis medalion dikeluarkan; dua medalion emas, dua medalion perak dan emas nordic. Semua medalion memaparkan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai motif utama.

Jika kita melihat kepada sejarah jualan wang peringatan BNM, tidak pernah lagi BNM menjual medalion peringatan kepada orang ramai.

Kebiasaannya medalion peringatan dijual oleh pejabat SUK negeri Sultan tersebut dan hanya mereka yang berasal daripada negeri tersebut yang dibenarkan untuk membeli.

Adakah untuk tahun ini kita akan menyaksikan tiada syiling peringatan tahun 2018 dikeluarkan oleh BNM?

Apakah koleksi yang anda kumpul pada ketika BNM tidak menjual syiling peringatan?