Sabtu, 30 Jun 2018

Apa jadi dengan jualan Wang Kertas Terbesar Di Dunia?

Kepada anda yang tertanya-tanya apa yang terjadi dengan jualan Wang Kertas Terbesar Di Dunia yang dilelong di Hong Kong oleh Heritage Auction dan berapakah harga jualan set wang kertas peringatan RM60 dan RM600 yang mendapat gred Gem Uncirculated 70 EPQ* daripada Paper Money Grading (PMG)?

Wang Kertas Terbesar Di Dunia

Nampaknya jualan tersebut tidak mencapai harga rizab US$12,000 termasuk premium pembeli atau lebih kurang RM48,379, tidak ada pembeli yang memenangi acara lelongan tersebut.

Pihak Heritage Auction menawarkan kepada sesiapa yang ingin membeli set wang peringatan tersebut supaya menghubungi mereka sehingga jam 8.00 pagi pada 9 Julai 2018. Harga tawaran yang memenangi set wang kertas akan dihubungi selepas itu. Namun, tidak ada jaminan tawaran harga akan diterima oleh mereka.

Wang kertas RM600 & RM60 ini dikeluarkan untuk memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Ianya dilancarkan secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2017.

Dimensi wang kertas RM600 secara rasminya adalah 22 cm X 37 cm (8.6 in X 14.5 in). Hanya 6,000 keping sahaja yang dikeluarkan oleh BNM.

Wang Kertas RM600 Malaysia secara rasminya adalah pemegang rekod Guinness untuk Wang Kertas Terbesar di Dunia pada 27 Disember 2017 dan saiznya direkodkan oleh Buku Guinness sebesar 814 cm² atau 126.17 in².

Jika melihat kepada sejarah jualan lelongan wang kertas BNM yang di adakan pada 10 Mac 2018, harga lelongan tertinggi adalah pada harga RM78,000 untuk wang kertas RM600 bernombor prefix MRR0000088.

Namun, itu bukanlah ukuran sebenar untuk wang kertas yang dilelong oleh Heritage Auction kerana nombor yang ada hanyalah nombor biasa. Cuma set wang kertas tersebut mendapat gred Gem Uncirculated 70 EPQ* daripada Paper Money Grading (PMG), gred tertinggi untuk wang kertas.

Ramai juga yang kecewa kerana lelongan tersebut akan menjadi modal untuk penjual menjual wang kertas RM600 & RM60 nanti. Namun, pasti ada yang akan membuat lelongan wang kertas tersebut didalam masa yang terdekat ini. Sama-sama kita tunggu.