Thursday, June 7, 2018

Wang Kertas Terbesar Di Dunia dilelong di Hong Kong

Wang Kertas RM600 yang berjaya memegang rekod Guinness sebagai Wang Kertas Terbesar Di Dunia sedang dilelong di Hong Kong oleh salah satu syarikat lelongan terkemuka dunia, Heritage Auction. Acara lelongan tersebut akan mencapai kemuncaknya pada 28-29 Jun 2018 di Hotel Mira, Hong Kong.

Wang Kertas Terbesar Di Dunia

Set Wang kertas tersebut yang mengandungi sekeping wang kertas RM600 dan sekeping wang kertas RM60 itu mendapat gred Gem Uncirculated 70 EPQ daripada Paper Money Grading (PMG), Syarikat pengreddan wang kertas antrabangsa. Gred Gem Uncirculated 70 EPQ adalah gred tertinggi untuk wang kertas tersebut dan amat sukar untuk mencapai gred tersebut.

Wang kertas yang dilelong ini didatangkan bersama dengan kotak dan album khas yang dibekalkan oleh Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan sijil pengesahan wang kertas tersebut oleh Bank Negara.

Semasa artikel ini ditulis, wang kertas tersebut telah dibida pada harga RM33,415 termasuk premium pembeli.

Wang kertas RM600 & RM60 ini dikeluarkan untuk memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Ianya dilancarkan secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2017.

Dimensi wang kertas RM600 secara rasminya adalah 22 cm X 37 cm (8.6 in X 14.5 in). Hanya 6,000 keping sahaja yang dikeluarkan oleh BNM.

Wang Kertas RM600 Malaysia secara rasminya adalah pemegang rekod Guinness untuk wang kertas terbesar di dunia pada 27 Disember 2017 dan saiznya direkodkan oleh Buku Guinness sebesar 814 cm² atau 126.17 in².

Pada ketika ini, agak sukar untuk menemui collector yang ingin melepaskan wang kertas RM600 kerana masing-masing ingin menunggu keputusan acara lelongan oleh Heritage Auction.

Anda boleh mengikuti acara lelongan ini di link berikut; Heritage Auction RM600