Hari ini kami menerima beberapa mesej daripada rakan-rakan numismatik tentang kebimbangan mereka dengan trend terbaru yang agak merisaukan, bak kata pepatah, nak ditelan mati emak, diluah mati bapa. Ada juga yang menghantar mesej "jangan bermain dengan api".
Ditelan mati emak kerana pihak kami tidak mahu membantutkan semangat rakan-rakan yang ingin menulis buku numismatik dan diluah mati bapa kerana kami perlu juga kongsikan apa yang rakan-rakan suarakan supaya tidak berlaku masalah yang lebih teruk dikemudian hari. "Jangan bermain dengan api" kerana apa yang ditulis dan dikongsi oleh rakan-rakan itu adalah suatu kesalahan dibawah Akta Bank Negara Malaysia.
Apa yang kami maksudkan adalah perkongsian buku mengenai duit syiling serta wang kertas error yang ditulis oleh rakan-rakan numismatik.
Sejak dari minggu lepas lagi, ada yang menghantar mesej mengenai buku-buku tersebut dan yang terbaru hari ini mengenai buku duit syiling error Malaysia yang akan dikeluarkan.
Mungkin ada rakan-rakan yang belum lagi membaca artikel kami sebelum ini, Maklumat numismatik yang wajar dikongsi BNM. Didalam artikel tersebut kami ada kongsikan mengenai masalah yang dihadapi oleh penulis buku Numismatik Malaysia apabila BNM tidak lagi membenarkan tandatangan gabenor BNM pada wang kertas dikongsikan didalam buku katalog terbaru. Tulisan "CONTOH" atau "SPECIMEN" juga perlu diletakkan di gambar wang kertas tersebut selain daripadaa diminta untuk memadam tandatangan gabenor dan juga tulisan "WANG KERTAS INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI". Ianya adalah berdasarkan garis panduan pengeluaran pengeluaran semula Mata Wang; Guideline on the Reproduction of Malaysian Currency.
Mungkin ada juga rakan-rakan yang tidak tahu, penghasilan semula imej wang kertas dan syiling Malaysia perlu meminta kebenaran daripada Bank Negara Malaysia dan pada masa ini ianya adalah agak ketat berbanding dahulu. Wang kertas contoh, duit syiling trial, wang kertas error dan juga duit syiling error adalah antara imej yang tidak dibenarkan dimasukkan didalam buku.
Mungkin ada juga rakan-rakan yang tak tahu, hanya ada tiga syarikat sahaja (yang masih aktif) yang mendapatkan kebenaran dari BNM sebelum mencetak buku mereka. Kelulusan itu ada dipaparkan di bahagian dalam buku-buku tersebut.
Mungkin juga rakan-rakan tak tahu, apabila kita terjumpa dengan duit syiling error atau wang kertas error kita perlu untuk memulangkannya semula kepada Bank Negara Malaysia sama seperti apabila kita mendapat wang palsu.
Apabila anda menjual buku berkenaan wang error, anda seperti mencabar Bank Negara Malaysia. Menjual ilmu dan berkongsi ilmu adalah suatu perkara yang berbeza. Itulah antara yang disampaikan kepada kami oleh seseorang.
Seperti yang kami cakapkan sebelum ini, kami bukanlah pakar numismatik, kami kongsikan sekadar apa yang kami tahu kerana rakan-rakan yang menghantar mesej kepada kami meminta ianya dikongsi.
Mungkin rakan-rakan yang ingin menjual buku numismatik yang melanggar Akta Bank Negara perlu berhati-hati dimasa sekarang dan juga dimasa hadapan.
Terpulang kepada rakan-rakan yang menulis buku-buku tersebut untuk menerima apa yang kami sampaikan atau tidak.