Kita kerap kali membaca di dalam akhbar arus perdana, terdapat berita mengenai "syiling" baru dikeluarkan tetapi apabila berita itu dibaca dengan teliti, ia sebenarnya hanyalah medalion peringatan yang menyerupai seperti syiling.
Bagi bukan collector, apa sahaja yang bulat menyerupai bentuk seperti duit syiling itu adalah "syiling" tetapi didalam numismatik terdapat perbezaaan di antara syiling dan medalion.
Apakah yang dimaksudkan sebagai syiling?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, syiling adalah mata wang yg dibuat drpd logam dan wang bermaksud alat pertukaran yg mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah.
Apakah yang dimaksudkan sebagai medalion?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, medalion adalah sejenis barang perhiasan yg berbentuk bulat atau lonjong dll (dibuat drpd emas dll dan digantungkan pd kalung, jam, dll).
Maksud Syiling menurut numismatik
Didalam Numismatik, duit syiling adalah mata wang yang mempunyai nilai yang diperakui sah (legal tender) yang dikeluarkan oleh kerajaan atau negara. Jika ianya tidak mempunyai nilai yang diperakui sah ianya bukanlah syiling.
Untuk kes Malaysia, setiap syiling perlu ada nilai Ringgit atau Sen dicetak dipermukaan syiling tersebut. Hanya Bank Negara Malaysia sahaja yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan duit syiling "Malaysia" sepertimana yang diperuntukkan dibawah Akta Bank Negara Malaysia 2009
Mengikut akta tersebut unit mata wang di Malaysia ialah ringgit, yang dibahagikan kepada satu ratus sen dan singkatan bagi ringgit ialah “RM” atau “MYR”.
Selain itu, menurut Akta tersebut, Bank Negara hendaklah menjadi pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang kertas dan syiling di Malaysia dan wang kertas dan syiling itu hanya boleh dicetak atau ditempa oleh atau di bawah kuasa Bank. Hanya mata wang kertas dan syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara adalah sah diperlakukan di Malaysia.
Trend masa kini, syiling atau medalion?
Sudah menjadi trend masa kini, setiap kali ada medallion dikeluarkan ianya dikaitkan dengan duit syiling serta numismatik. Bagi bukan collector, ianya perkara biasa sahaja tidak ada silapnya tetapi bagi collector ianya adalah kesilapan kecil yang tidak sepatutnya dilakukan oleh bukan warga numismatik yang cuba untuk menjual produk mereka sebagai koleksi numismatik.
Mungkin ramai yang beranggapan apabila ianya disebut sebagai syiling, ramai collector numismatik yang akan membeli produk mereka. Namun, adakah ianya dibolehkan didalam Malaysia untuk menyebut produk medalion sebagai syiling mengikut Akta Bank Negara Malaysia?
Sebenarnya, penjual medalion tidak perlu risau, didalam numismatik, medalion juga adalah antara yang dikumpul oleh warga numismatik. Medalion ada pengumpulnya yang tersendiri, sebutlah koleksi itu sebagai "syiling" tetapi jika collector tersebut tidak berminat dengan medalion, mereka tidak akan membelinya kecuali untuk collector yang terikut-ikut dengan trend rakan-rakan yang membeli medalion sebagai koleksi.
Selain dari itu, ada juga rakan-rakan collector yang berminat membeli medalion kerana tema dan juga rekabentuk medalion tersebut menarik.
Ada juga medalion yang suatu waktu dahulu dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit pada masa sekarang ini menjadi popular dikalangan warga numismatik.
Jumlah yang sedikit itu bukanlah 999 keping (untuk medalion berharga lebih dari RM100), didalam numismatik Malaysia, apa sahaja yang dikeluarkan pada jumlah lebih dari 200 keping/set itu biasanya dah agak banyak.
Tidak semua orang mengumpul medalion kerana ianya tidak mempunyai "legal tender" tetapi tidak bermakna medalion tidak dikumpul oleh pengumpul syiling.
Pihak kami melihat, trend mengelar "medalion" sebagai "duit syiling" seolah-olah ianya adalah koleksi numismatik yang "legal tender" adalah suatu cara marketing yang tidak sihat.
Setahu kami hanya Bank Negara Malaysia sahaja yang boleh mengeluarkan "Duit Syiling" di Malaysia tetapi mungkin sekarang ini dibenarkan medalion disebut sebagai "Duit Syiling" tetapi carian kami untuk akhbar-akhbar lama sebelum ini, ianya disebut dengan jelas sebagai medalion bukan syiling, paling tidak pun disebut syiling medalion.
Pendapat anda bagaimana?