Ahad, 22 Mei 2016

Tema Sejarah Perang; adakah ianya dilupakan?

Selain tidak pernah memaparkan imej wanita sebagai imej utama rekabentuk syiling, Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak pernah membuat tema sejarah perang sebagai memperingati wira-wira negara yang terkorban. Mungkin juga Sejarah Perang di Malaysia ini tidak penting atau ingin dilupakan kerana ianya peristiwa hitam yang tidak wajar dikenang.

Malayan Emergency

Baru-baru ini, seorang rakan Facebook, Tuan Vinz Lee bertanyakan kepada kami, adakah BNM pernah membuat syiling bertemakan perang sepertimana yang dibuat oleh Kilang Wang Royal Australian Mint di atas.

Siri duit syiling Australia At War setakat ini memaparkan 3 jenis syiling; Indonesian, Korean War dan Malayan Emergency. Ianya dikeluarkan sebagai memperingati wira-wira perang Australia yang gugur semasa peperangan yang disertai oleh warganya. Ianya bukan sahaja dibeli oleh orang Australia malah ramai rakan-rakan collector Malaysia yang berminat untuk mendapatkannya.

Syiling yang dikeluarkan didalam bentuk kad itu dikeluarkan sebanyak 50,000 keping, menggunakan logam Cupronickel dengan kualiti Uncirculated.

Ada rakan-rakan yang berseloroh, BNM tak keluarkan lagi syiling ini kerana mungkin mereka hendak tunggu tempoh sejarah itu sudah cukup 50 tahun, 100 tahun atau mungkin 200 tahun sepertimana kelaziman duit syiling yang dikeluarkan sekarang.

Berikut kami paparkan tema sejarah perang yang mungkin boleh dikeluarkan oleh BNM.

Senarai Tema Sejarah Perang Malaysia:

1. Penjajahan Jepun di Tanah Melayu
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula dari 8 Disember 1941 sehingga 31 Januari 1942 semasa perang dunia kedua adalah suatu peristiwa pahit yang sewajarnya di abadikan pada syiling Malaysia. Nama Lt Jeneral Yamashita, Komander tentera Jepun yang menyerang Malaya masih di ingati sehingga ke hari ini.

2. Perang Darurat di Tanah Melayu
Malayan Emergency War atau Perang Darurat di Tanah Melayu bermula dari 16 Jun 1948 sehingga 12 Julai 1960 (12 tahun, 3 minggu dan 5 hari). Ianya suatu tempoh yang sangat panjang dengan perang gerila yang membabitkan Parti Komunis Malaya (PKM), parti berhaluan kiri dengan pihak British. Semasa darurat, pihak polis diberi kuasa untuk menangkap mereka yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengganas komunis. Lebih daripada 1345 orang anggota keselamatan dari pelbagai negara terkorban semasa peristiwa tersebut.

3. Perang Insurgensi Melawan Pengganas Komunis
Walaupun darurat di Malaya di istiyarkan tamat pada tahun 1960, ramai daripada anggota pengganas komunis yang lari ke selatan Thailand, berkumpul dan berlatih untuk merancang serangan ke atas Malaya. Ini di ikuti dengan Perang Insurgensi Melawan Pengganas Komunis dari 17 Jun 1968 sehingga 2 Disember 1989 yang melibatkan pengganas komunis dengan anggota keselamatan Malaysia. Perang Insurgensi Melawan Pengganas Komunis tamat pada 2 Disember 1989 apabila Perjanjian damai dikenali dengan nama Perjanjian Haadyai ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya.

4. Perang Konfrontasi Malaysia-Indonesia
Selain itu, terdapat juga Perang Konfrontasi Malaysia-Indonesia dari 20 Januari 1963 sehingga 11 Ogos 1966. Perang ini terjadi ekoran daripada bantahan dilakukan oleh Presiden Sukarno (Indonesia) yang tidak setuju dengan pembentukan Malaysia melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Sukarno telah melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’ pada awal 1963 dan sukarelawan perang dan para gerila Indonesia mula bertindak menyelinap masuk ke dalam sempadan Malaysia. Perang berakhir apabila Indonesia mengalami konflik politik dalaman dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos 1966, dirasmikan dua hari kemudian.

5. Pencerobohan Lahad Datu
Pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 juga sewajarnya di ingati kerana ianya turut melibatkan ramai wira-wira negara terkorban. Peristiwa ini berlaku apabila 235 orang Filipina dari Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kg. Tanduo, Daerah Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013. Mungkin ianya bukanlah perang tetapi lebih kepada krisis kecil sahaja tetapi pada pendapat kami, peristiwa tersebut juga sewajarnya dikenang pada syiling peringatan.


Pendapat anda bagaimana? Ada lagi peristiwa penting negara yang sewajarnya di abadikan pada syiling peringatan Malaysia?