Ahad, 8 Mei 2016

Tiada imej wanita pada syiling peringatan Malaysia?

Pelik tetapi benar, tidak ada lagi wanita dipaparkan sebagai motif utama didalam mana-mana rekaan duit syiling peringatan Malaysia sejak tahun 1969 sehinggalah sekarang. Adakah tahun ini akan muncul rekaan imej wanita pertama pada duit syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)?

pandu puteri Malaysia

Khabar angin yang kami dengar, rekaan syiling peringatan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menampilkan wanita pada permukaan duit syiling Malaysia buat pertama kalinya. Tidak dapat disahkan imej siapakah yang digunakan untuk logo sambutan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia tersebut tetapi jika khabar angin ini benar, ia sudah pasti melakar sejarah sebagai imej wanita yang pertama kali dilakar pada syiling peringatan Malaysia.

Ada rakan-rakan yang mengatakan wanita didalam logo sambutan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia itu mirip wajah Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jika anda pengumpul duit syiling peringatan, syiling yang memaparkan tema wanita syiling United Nations Decade for Women juga tidak memaparkan imej wanita sebaliknya burung merpati sebagai gambaran kebebasan wanita.

Syiling-syiling peringatan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) oleh BNM juga tidak ada memaparkan imej wanita sebagai motif pada rekaan syiling. Sukan Asia Tenggara yang turut disertai oleh wanita Malaysia didalam pelbagai acara sukan di abadikan didalam bentuk syiling untuk Sukan SEA Ke-9, Sukan SEA Ke-15 dan Sukan SEA Ke-21.

Namun, acara gimnastik yang juga sukan untuk wanita dipaparkan pada syiling Copper-Nickel Sukan SEA Ke-21. Namun, ianya memaparkan Si Tumas, maskot rasmi bagi Sukan SEA XXI sedang melakukan aksi gimnastik.

Rakan-rakan kami mengatakan, mungkin BNM mempunyai polisi, wanita tidak boleh dipaparkan sebagai motif utama pada duit syiling peringatan sebab itu walaupun BMM telah mengeluarkan syiling peringatan lebih daripada 47 tahun, tidak ada imej wanita dipaparkan sebagai motif utama pada rekaan syiling mereka.

$1 kwsp

Satu-satunya syiling Malaysia yang memaparkan imej wanita pada rekaan syiling peringatan BNM adalah syiling 1 Ringgit Copper-nickel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan pada tahun 1976. Namun, imej tersebut bukanlah motif utama pada duit syiling tersebut.

Semoga desas-desus imej wanita pertama pada duit syiling peringatan BNM akan menjadi kenyataan.