Tuesday, February 2, 2016

Cara tukar duit rosak di BNM

Anda ada duit yang rosak tetapi tak boleh guna sebab kedai tak nak ambil duit tu? Tahukah anda tidak semua duit rosak itu hilang nilainya. Anda sebenarnya boleh menukar duit anda di bank-bank komersial (Maybank, CIMB, RHB etc) dan juga di mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia (BNM).

Duit Rosak

Ramai yang ingat duit rosak hanya boleh ditukar di Bank Negara Malaysia (BNM), jika anda hanya ada sedikit wang rosak, anda boleh cuba menukarnya di bank-bank komersial berdekatan dengan anda, tidak perlu ke BNM.

Kes-kes yang mana wang kertas anda itu sudah terbelah dua, terbakar teruk, duit anda itu tidak dapat dilihat denominasinya, adalah lebih baik untuk anda pergi ke BNM.

‘Mata Wang Sesuai’ ialah wang kertas atau duit syiling yang memenuhi kriteria dan standard kualiti untuk dikekalkan dalam edaran. Wang kertas atau duit syiling tulen Malaysia dianggap tidak sesuai untuk edaran semula sekiranya ia mempunyai salah satu daripada kriteria "duit rosak" yang ditetapkan oleh BNM.

Kriteria "Duit Syiling Rosak":


1. Kakis
Sebahagian atau keseluruhan permukaan duit syiling rosak teruk atau terkakis secara kekal akibat tindak balas kimia.

berlubang

2. Berlubang
Terdapat sekurang-kurangnya satu lubang yang ketara pada mana-mana permukaan duit syiling.

kemik

3. Kemek
Duit syiling yang kemek akibat ketukan, tetapi tidak relai.

pecah

4. Pecah
Duit syiling yang pecah kepada beberapa bahagian.

potong

5. Potong
Duit syiling yang dipotong dengan menggunakan objek tajam seperti pisau atau gunting.

terbakar

6. Terbakar
Kerosakan akibat terbakar yang menyebabkan rupa duit syiling berubah dan menjadi kusam.

kotor

7. Kotor
Perubahan pada warna duit syiling disebabkan haus, lusuh dan kotor, contohnya duit syiling berwarna hitam.

ganjil

8. Syiling Ganjil
Rupa bentuk duit syiling yang ganjil berlaku semasa proses penempaan.



Kriteria "Wang Kertas Rosak":

lusuh

1. Kotor / Lusuh 
Kekotoran yang menyeluruh atau tompokan yang terdapat dipermukaan wang kertas.

lembik

2. Lembik 
Lipatan berlebihan yang menyebabkan kerosakan pada struktur atau tekstur wang kertas.

renyuk

3. Renyuk 
Lipatan secara rawak yang banyak meliputi keseluruhan wang kertas yang (Pengecutan menyebabkan keadaan visual wang kertas itu terjejas teruk (termasuk Wang Polimer) pengecutan wang polimer akibat terlalu terdedah kepada kepanasan).

diconteng

4. Conteng 
Wang kertas yang mempunyai perkataan, tanda-tanda, simbol, lukisan yang dilakarkan di permukaan wang kertas dengan sengaja.

luntur warna

5. Luntur Warna 
Luntur warna pada sebahagian atau keseluruhan wang kertas seperti telah dibasuh atau terkena bahan kimia.

koyak

6. Koyak 
Wang kertas yang terkoyak sebarang saiz atau dari mana-mana hala yang melebihi saiz 5mm pada mana-mana bahagian wang kertas.

berlubang

7. Berlubang 
Wang kertas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu lubang yang saiznya melebihi 5mm (lubang dawai kokot dan lubang jarum boleh diterima).

ubah suai

8. Ubah suai 
Bahagian-bahagian wang kertas yang sama dicantum semula dengan menggunakan pita perekat atau glu.

lipatan bucu

9. Lipatan bucu 
Lipatan bucu yang kekal dan tidak boleh dipulihkan, yang menyebabkan panjang atau lebar wang kertas tersebut berkurang melebihi 5mm.

makan anai-anai

10. Terbakar / Di makan Anai-anai
Kerosakan yang disebabkan terbakar atau dimakan anai-anai pada mana-mana bahagian yang melebihi saiz 5mm.

cantuman

11. Cantuman Wang kertas
Wang kertas sama yang terpisah kepada beberapa bahagian dan hanya beberapa bahagian dicantumkan; atau beberapa bahagian daripada wang kertas yang berlainan yang dicantumkan.

ciri keselamatan

12. Hilang ciri-ciri
Salah satu atau lebih ciri keselamatan didapati hilang atau rosak apabila diperiksa secara manual (visual).




Penilaian untuk nilai muka (denominasi) duit Rosak:

1. Wang Kertas Cacat
Wang kertas yang keadaan fizikalnya telah berubah, sama ada secara tidak sengaja dicemari dengan air, minyak, cat, dakwat atau bahan yang serupa atau kehilangan sebahagian atau beberapa bahagian daripadanya. Ini tertakluk kepada bahagian atau bahagian-bahagian yang dikemukakan itu dapat dibuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah bahawa bahagian atau bahagian-bahagian yang dikemukakan itu adalah pada asalnya sebahagian atau beberapa bahagian daripada satu helai wang kertas yang tunggal.

Terdapat tiga kategori nilai penebusan bagi wang kertas cacat seperti yang berikut :
(i) Nilai penuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang melebihi dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal atau;
(ii) Nilai separuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang melebihi setengah (1/2) tetapi kurang dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal atau;
(iii) Tiada nilai bagi sebarang keping wang kertas yang kurang setengah (1/2) daripada wang kertas yang asal.


2. Wang Kertas Rosak
Wang kertas yang terdapat padanya perkataan, tanda-tanda, simbol, lukisan, karikatur sama ada ditulis atau ditanda di atas permukaannya secara sengaja.
(i) Nilai penuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang mempunyai kerosakan kecil.
(ii) Tiada nilai bagi sebarang keping wang kertas yang rosak dengan sebarang cara yang nyata (iaitu, tanda yang dibuat di atas potret Yang DiPertuan Agong, tulisan yang menggambarkan slogan politik atau menggunakan wang kertas itu sebagai kad jemputan/pad tulis).


3. Duit Syiling Cacat
Nilai muka akan diberikan sekiranya duit syiling itu memenuhi syarat-syarat berikut:
• Duit syiling tulen
• Rupa bentuknya dapat dikenalpasti
• Cacat atau calar yang tidak disengajakan atau haus


4. Kes-kes yang meragukan
Sebarang kes yang meragukan yang menyukarkan penilaian dibuat disebabkan wang kertas itu dalam keadaan yang sudah rosak (sebagai contoh, satu helai wang kertas yang terbakar dengan teruk atau kerosakan pada wang kertas yang sukar menentukan saiznya) hendaklah dirujuk pada Bank Negara Malaysia untuk penilaian.


Wang Bagaimanakah sesuai untuk digunakan didalam edaran?
Wang kertas Malaysia dianggap sesuai untuk edaran semula apabila memenuhi semua kriteria berikut:
• Tulen dan bukan palsu
• Tidak berlubang, koyak, bertampal atau hilang beberapa bahagian daripadanya
• Bersih secara keseluruhannya dan tidak terlalu kotor
• Warna yang tidak luntur, terutamanya pada potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
• Tidak berconteng

Duit syiling Malaysia dianggap sesuai untuk edaran semula apabila memenuhi semua kriteria berikut:
• Tulen dan bukan palsu
• Tidak kotor atau berubah warna (akibat tindak balas kimia, terbakar, kotoran atau terlalu lama dalam edaran)
• Tidak cacat (contohnya berlubang, kemek, dipotong atau hilang sebahagiannya)
• Tidak ganjil


Sumber: Garis Panduan Kualiti Matawang, Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang, Bank Negara Malaysia.


Nasihat kami untuk Matawang Ganjil (error)
Rupa bentuk wang kertas atau duit syiling yang ganjil berlaku semasa proses cetakan wang kertas atau penempaan duit syiling. Pada pendapat saya, lebih baik anda jual Matawang Ganjil atau error currency ini kepada pengumpul duit lama kerana ia mempunyai nilai yang lebih tinggi dari nilai denominasinya.

Namun, janganlah pula berharap ianya berharga sehingga beribu ringgit.

Bertanya di dalam group-group numismatik di Facebook adalah kaedah yang paling mudah untuk mempastikan jika duit anda itu mempunyai nilai.