Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri, adakah anda seorang Numismatist atau hanya sekadar seorang pengumpul duit lama? Ada kawan yang bertanya bagaimana nak bezakan antara Numismatist dan pengumpul duit lama?
Bagi saya, jawapan kepada soalan itu amat mudah, jika anda membeli koleksi duit syiling anda dan kemudian hanya menyimpannya didalam laci tanpa apa-apa niat untuk melakukan kajian mendalam berkenaan duit syiling itu, anda hampir pasti hanyalah seorang pengumpul duit lama.
Seorang numismatist mengumpul dan juga membuat kajian ke atas duit syiling, wang kertas dan juga apa-apa matawang yang dikumpulnya.
Seorang pengumpul duit lama hanya mengumpul tanpa apa-apa minat didalam mengkaji mengenai duit syilingnya.
Pengumpul duit syiling yang terkenal di seluruh dunia suatu ketika dahulu adalah King Farouk yang mempunyai banyak koleksi syiling rare dari seluruh dunia. Namun, kini koleksi King Farouk itu telah menjadi milik ramai orang kerana kejatuhan kerajaannya. Beliau hanya mengumpul syiling tanpa sedikit pun minat untuk mengkaji syiling tersebut. Jika anda semua masih ingat, syiling 1933 double eagle yang tidak dikeluarkan oleh US Mint juga pernah menjadi koleksinya.
Kebanyakkan dari kita bermula sebagai pengumpul duit lama sahaja. Lama kelamaan minat untuk membuat kajian mengenai syiling yang kita ada akan timbul dengan sendirinya. Terutamanya apa bila melihat rakan-rakan numismatist berbicara mengenai syiling mereka dengan kita.
Kebanyakkan numismatist menyimpan koleksi mereka mengikut katalog, lengkap dengan catatan mengenai syiling itu pada coin holder mereka. Ada juga yang mencatat, dari mana mereka mendapat syiling itu dan juga harga semasa membeli syiling tersebut. Apabila rakan-rakan meminta untuk diberikan tunjuk ajar mengenai syiling mereka, penerangan yang diberikan oleh numismatist adakalanya agak terperinci dan lengkap dengan maksud setiap perkataan yang ada pada syiling tersebut.
Kewujudan media sosial Facebook banyak membantu dari segi pembelajaran numismatik. Jika anda tak tahu mengenai sesuatu syiling yang anda ada, jika anda ada sebarang persoalan mengenai sesuatu syiling itu, anda hanya perlu kongsikan gambar syiling dan bertanya kepada rakan-rakan di Facebook.
Jika anda berkongsi gambar duit syiling semata-mata hanya nak tahu harga duit syiling yang anda ada, rasanya anda boleh menilai sendiri di kategori manakah anda didalam numismatik Malaysia ini kan?