Isnin, 8 Disember 2014

Khabar angin cerita numismatik 2015

2014 semakin hampir melabuhkan tirainya. Pelbagai khabar angin dan juga cerita mengenai apa yang akan berlaku kepada komuniti numismatik Malaysia pada tahun 2015 telah diterima oleh kami di Malaysiancoin.com.

numismatik 2015

Sifu Dickson Niew berkongsi cerita mengenai beberapa siri acara lelongan akan dibuat oleh beberapa individu dan kumpulan. Mereka ini walau bukannya baru di dalam numismatik Malaysia tetapi masih di anggap baru didalam acara lelongan numismatik. Memandangkan tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada individu dan kumpulan numismatik ini, kita akan menganggapnya sebagai khabar angin sahaja dahulu.

Kepada rakan-rakan yang akan menjalankan acara lelongan numismatik pada tahun 2015, mohon jika anda boleh membantu saya memberikan input mengenai jadual tarikh dan tempat acara lelongan anda yang akan di adakan pada tahun 2015 untuk saya masukkan didalam artikel "Acara Lelongan Numismatik Malaysia 2015". Anda boleh menghubungi saya melalui Private Message (PM) Facebook Malaysia Coin atau emailkan ke lunaticg(at)gmail.com. Adalah lebih baik jika anda emailkan sekali gambar-gambar acara lelongan sebelum ini, sedikit penerangan mengenai acara lelongan (bila bermula, siapa penganjur, nombor telefon penganjur, bayaran fee penjual, saiz meja, keperluan lain etc). Saya akan cuba membantu anda mempromosi acara lelongan anda itu.

Ditahun hadapan juga, diharap buat julung kalinya Universiti di Malaysia akan menganjurkan program pembelajaran numismatiknya sendiri. "Certificate in Professional Numismatic Malaysia" yang di ilhamkan oleh Kelab Warisan Numismatik itu akan membuka ruang kepada pembelajaran numismatik di negara ini. Menurut maklumat yang diterima daripada Dato Shahruddin, Presiden Kelab Warisan Numismatik, kuota pelajar sudah hampir penuh. Tenaga pengajarnya juga sudah ditemui dan ianya sedang memasuki fasa akhir perbincangan dengan Universiti yang berkaitan.

Tahun ini juga kita dikejutkan dengan khabar angin mengenai duit syiling 10 sen 1971 palsu yang dikatakan dijual di Amcorp Mall Flea Market. Seorang Collector terkenal yang ingin membeli syiling itu telah ditawarkan dengan 10 sen 1971 V1 yang mempunyai gred UNC. Beberapa gerai menawarkan kepadanya, ada juga kedai yang mempunyai beberapa keping syiling tersebut menunjukkan kepadanya. Masalahnya, semua syiling itu seperti baru dan mempunyai rupabentuk yang sama. Dengan bahasa mudahnya, anda boleh menemui 10 orang kembar "10 sen 1971" didalam satu bangunan pada masa yang sama. Sesuatu yang mustahil berlaku bukan? Walau bagaimanapun, cerita ini tidak sama dengan cerita mengenai 10 sen 1971 palsu yang pernah kami siarkan sebelum ini. Syiling palsu yang baru ini wujud, cuma mereka yang menjualnya mungkin berhati-hati dengan siapa mereka akan jual syiling tersebut. Saya berkongsi khabar angin ini supaya anda berhati-hati ketika membeli syiling tersebut.

Khabar angin duit palsu ini sedikit sebanyak menyebabkan harga pasaran duit syiling Malaysia turut jatuh. Walaupun ada berita mengenai syiling yang dijual sehingga berpuluh ribu ringgit, ianya tidak membantu kenaikkan harga pasaran.

Kami telah mendapat laporan mengenai Harga Pasaran Duit Lama sejak bulan Oktober lagi. Namun, harga pasaran yang naik dan turun secara tiba-tiba menjadikan harga pasaran yang dilaporkan itu jauh berbeza. Diharap, selepas jualan syiling peringatan terbaru BNM yang dikhabarkan akan dijual tidak lama lagi, harga pasaran akan kembali stabil.