Ahad, 22 Jun 2014

Rekabentuk syiling 40 tahun hubungan Malaysia China

Jika minggu lepas saya berkesempatan untuk berjumpa dengan sifu Dickson Niew di kedai barunya, Dickson Niew Collection Gift Shop, hari ini saya berkesempatan bertemu dengan blogger mykoleksi di kedai baru Dickson Niew tersebut. Pelbagai perkara yang kami bincangkan, termasuklah mengenai rekabentuk syiling 40 tahun hubungan Malaysia China yang akan mula dijual pada 27 Jun 2014 ini.

China

Selain itu, ada pelbagai input yang kami dapat daripada Sifu Dickson Niew mengenai beberapa isu yang menjadi buah mulut kalangan rakan-rakan numismatik beberapa minggu ini. Saya akan cuba kongsi satu video pendek mengenai bagaimana tulisan "BANK NEGARA MALAYSIA" di tepi syiling atau coin edge itu boleh terbalik. Saya akan kongsikan video tersebut didalam Facebook pages Malaysia Coin.

Bercerita mengenai rekabentuk syiling 40 tahun hubungan Malaysia China, mykoleksi ada berkongsi pendapat beliau mengenainya didalam artikel di blog beliau Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China Ke-40. Anda boleh bacanya sendiri, saya akan cuba berkongsi pendapat saya sendiri yang tidak ada lagi dikongsikan oleh beliau.

Apabila khabar-khabar angin mengenai duit syiling Panda yang akan tiba di Malaysia pada tahun ini keluar, saya banyak kali melihat duit syiling peringatan yang dikeluarkan oleh negara luar untuk memperingati ulangtahun hubungan diplomatik dengan negara China. Saya rasa, ada juga kawan-kawan yang turut berbuat demikian, berharap rekabentuk syiling Malaysia juga akan secantik apa yang dibuat oleh negara lain.

Namun, apabila maklumat rasmi dikeluarkan oleh Bank Negara, ramai yang kecewa dengan rekabentuk tersebut. Sudahlah Beruang Panda tidak ada langsung didalam syiling tersebut, rekabentuk juga di kitar semula daripada rekabentuk yang telah digunakan sebelum ini.

Ada juga yang mengeluh harga syiling perak agak mahal daripada harga sebelum ini. Bagi saya itu adalah perkara biasa apabila ianya bukanlah dikilangkan di Malaysia. "Harga produk luar negara mesti lebih mahal".

Pada pendapat saya, rekabentuk dibuat agak kelam-kabut. Seolah-olah ianya dibuat asalkan ada syiling yang akan dikeluarkan untuk memperingati 40 tahun hubungan dua hala Malaysia. Ada rakan yang memberi pendapat secara berseloroh, "Malaysia negara Islam, oleh itu tidak boleh letakkan gambar Harimau dan Beruang Panda pada duit syiling peringatan".

Namun, seperti kebiasaannya, betapa teruk pun rekabentuk syiling peringatan baru, kita warga numismatik akan memaksa diri beratur untuk membelinya juga.

Kenapa ramai yang sanggup bangun awal pagi, menahan lapar berbaris lebih dari 3 jam di Sasana Kijang dan ada yang sanggup naik bas dari luar datang ke Kuala Lumpur, semata-mata untuk beratur di Sasana Kijang?

Adakah ianya kerana semangat patriotik?

Hahahahaha....

Anda jawablah sendiri....