Ahad, 4 Mei 2014

Cerita harta karun Pulau Nangka

"Pelik betullah Melaka ni, sekejap cerita harta karun Kapal Flor de La Mar, ni cerita harta karun Pulau Nangka pulak. Masalahnya, harta karun yang diceritakan itu tak nampak pun. Cerita sahaja di dalam akhbar ada harta karun, selepas beberapa bulan, cerita harta karun sunyi sepi sahaja. Entah-entah, harta karun dah jadi harta sendiri kot?"

Begitulah lebih kurang luahan yang diucapkan oleh seorang rakan kepada saya beberapa hari yang lepas, sewaktu kami sedang bersarapan pagi.

melaka treasure

Cerita harta karun di dalam sebuah gua di Pulau Nangka yang dikatakan bernilai berbilion Ringgit menjadi perbualan hangat untuk peminat barang antik dan juga pengumpul barang-barang lama minggu ini. Antara barangan yang dikatakan berada didalam gua itu adalah 80 peti yang mengandungi bar emas, syiling lama, gold ingot, geran tanah, pinggan emas, mahkota dan pakaian diraja.

Saya telah lama mengikuti cerita Kapal Portugis Flor de La Mar sejak tahun 2005 lagi dan diantara dokumen yang saya simpan ada menyebut mengenai Pulau Melaka yang pernah dijadikan tempat lanun bersembunyi suatu masa dahulu.

Pulau Nangka telah digazetkan sebagai hak milik Perbadanan Muzium Melaka sejak tahun 1997 lagi setelah dibeli daripada seorang individu pada harga RM2 juta. Menurut catatan sejarah, Kapal "Flor de la Mar" membawa barang rampasan seperti peti emas, permata, meja emas, pelbagai jenis batu permata, dua patung singa tembaga dan gelang sakti milik Raja Sabandar, yang hanya sebahagian kecil daripada kekayaan Sultan. Namun, kapal tersebut karam dalam kejadian ribut di luar Sumatera pada Disember 1511.

Menurut laporan akhbar Mstar pada 14 April 2014, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberitahu kerajaan negeri telah memberikan permit kepada dua syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian di bawah syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Pekerja-pekerja yang terlibat dalam projek itu setakat ini menggali beberapa lubang berdiameter 130mm untuk ke dalam gua itu dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.


Astro Awani pada 15 April 2014 berkongsi laporan berita mengenai usaha cari gali artifak yang dikaitkan dengan harta karun dari Kesultanan Melayu Melaka akan berakhir 30 April ini. Perkara itu didedahkan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, salah satu syarikat yang memperoleh lesen untuk mencari artifak terbabit.

Menurut laporan Sinar Harian 15 April 2014, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia tidak menolak kemungkinan wujud harta karun di Pulau Nangka. Jika wujud harta karun tersebut, ia boleh jadi milik lanun-lanun Eropah yang singgah di perairan Melaka.

Ditanya, adakah mungkin harta dikatakan milik Sultan Mahmud Shah itu ditinggalkan oleh pengiringnya sewaktu Baginda melarikan diri daripada serangan Portugis pada tahun 1511, Omar berkata, perkara itu tidak pernah dinyatakan.

"Tidak ada cerita hikayat Melayu mengenai perkara sedemikian. Menerusi cerita-cerita lama ini, setiap pengiring Sultan adalah terdiri daripada mereka yang setia.

"Mengikut sejarah, semasa Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Bentan, baginda diiringi hampir 300 pengiring yang membawa harta seperti alat-alat kerajaan (keris dan takhta) dan juga emas. Kesemua mereka ini sangat setia kepada Sultan dan tidak akan mengkhianati dengan mencuri dan menyembunyikan harta tersebut," katanya.

Jelasnya, semasa melarikan diri itu, Sultan dan pengikutnya hanya melalui jalan darat untuk mengelakkan diri daripada ditangkap Portugis.

"Jalan laut tidak selamat buat mereka. Jika mereka melalui jalan laut, akan mudah dikepong tentera Portugis berbanding jalan darat yang lebih kepada perkampungan," katanya.

Menurut laporan Sinar Harian 16 April 2014, Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said memberitahu, pihaknya mengadakan penyelidikan di pulau berkenaan kali pertama pada Julai 2012 dan menemui tiga tanda besar termasuk ukiran batu berbentuk bulan sabit. Batu berkenaan diperbuat daripada batu kuarza yang dilekapkan pada batu laut dipercayai berusia lebih setengah abad di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. Selain itu, terdapat ukiran batu peta Pulau Nangka sendiri yang menunjukkan simbol bermaksud adanya pinggan mangkuk lama tersimpan di situ. Semua itu boleh jelas kelihatan semasa air laut benar-benar surut.

Pulau Nangka

Mengikut kajian geoteknikal yang dijalankan, memang wujud bahan artifak lama dan selama hampir tiga bulan ini, kami bukan menemui gua seperti didakwa tetapi merupakan bilik-bilik yang dibina oleh orang terdahulu di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. Menurut beliau, binaan bilik-bilik berkenaan sama seperti struktur binaan Kota Melaka dan kemudiannya dikenali dengan nama Kota A Farmosa yang dibina oleh orang Melayu Melaka sendiri sebenarnya. Bilik-bilik berkenaan dibina mempunyai banyak fungsi, antaranya bilik mesyuarat dan pelbagai bilik lain. Lebih kurang 20 tahun lepas ketika struktur pintu utama masih elok, kita boleh masuk tapi sekarang pintu tersebut sudah runtuh jadi kita kena buat pintu baru, itu sebabnya tidak boleh masuk.

Pada 30hb April 2014, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. syarikat, yang menjalankan kerja mencari harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, gagal menemui harta itu setakat ini.

Kontrak pencarian selama empat bulan bermula Januari lepas yang diperoleh syarikat itu, akan tamat pada 12 tengah malam semalam. Oleh yang demikian, mulai esok, katanya, kerja pencarian itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat lain, yang akan menumpukan pencarian di kawasan lain di pulau itu.

Bermakna, tiada harta karun ditemui di Pulau Nangka setakat 30 April 2014.


Dua keping syiling emas Sultan Melaka dikatakan telah ditemui malam kelmarin (30 April 2014) oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di Pulau Nangka. Syiling pertama ditemui pada jam 11.15 malam dan syiling kedua pada jam 11.30 malam. 

Pada 3 Mei 2014, Bernama melaporkan, Kontraktor yang menjalankan kerja mencari harta karun di Pulau Nangka akan mendedahkan lakaran imej bilik yang dipercayai menyimpan artifak berharga itu kepada media minggu depan. Syarikat berkenaan, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd akan mendedahkan imej bilik terbabit selepas melakukan proses pengimejan elektro magnetik buat pertama kali secara tiga dimensi (3D). Pengarahnya, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said ketika ditemui di pulau itu petang tadi berkata, imbasan itu dilakukan bertujuan memberitahu orang ramai secara telus berhubung kerja mengesan harta karun yang dilalukan oleh pihaknya.

Pada 3 Mei 2014, Utusan Malaysia melaporkan, Keputusan analisis dua artifak syiling lama yang ditemui ketika kerja-kerja pencarian harta karun di Pulau Nangka, malam Rabu lalu dijangka diketahui selewat-lewatnya Selasa ini. Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas berkata, kedua-dua artifak tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negara untuk dianalisis secara terperinci.

Pada 8 Mei 2014, Sinar Harian melaporkan kenyataan Drs Mohd Nasruddin Rahman, Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan juga berpengalaman sebagai Kurator di Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) selama 17 tahun mengenai syiling Pulau Nangka:

"Syiling tersebut dipercayai bukan digunakan bagi tujuan perdagangan pada zaman dahulu, sebaliknya lebih kepada wafak atau azimat.

“Ia dijadikan azimat atau wafak kerana tulisan Jawa Kuno dipaparkan adalah tentang kesetiaan seseorang.

“Saya yakin syiling itu berfungsi untuk ilmu pengasih kerana ciri-cirinya mampu bangkitkan aura bagi menarik kekasih serta membangkitkan rasa rindu,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, tulisan terukir pada syiling berkenaan membawa maksud kesetiaan seorang utusan mempertahankan amanat dipikulnya sehingga ke titisan darah terakhir. Ia lebih kepada kisah tentang utusan kesatria pendatang bernama Ajisaka yang mengawali peradapan Pulau Jawa.

Mengenai ukiran gambar berunsur dewa pada syiling itu, Mohd Nasruddin berkata, ia adalah watak Semar atau dikenali sebagai Kyai Lurah Semar Badranaya.

“Ia adalah tokoh paling utama dalam wayang Jawa dan Sunda,” katanya.

Sinar Harian 11 Mei 2014 melaporkan, Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, pihaknya sudah melakukan 10 imbasan dan terdapat unsur logam dipercayai harta karun. Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka sama ada mahu melanjutkan tempoh kontrak Smart Partnership. Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas berkata, syarikat itu sudah 13 kali diberi tempoh lanjutan dan kini menunggu sama ada perlu meneruskan kerja atau meninggalkan pulau itu.


Apa yang pelik bagi saya ialah kenapa kerajaan Melaka melantik syarikat swasta untuk mencari harta karun tersebut? Saya tidak pasti jika kos pencarian harta karun itu ada melibatkan kos kepada kerajaan negeri tetapi ianya sudah pasti melibatkan kos kepada syarikat tersebut. Selain isu, siapa yang akan menanggung beban kewangan itu, saya juga tertanya-tanya apakah kepakaran syarikat tersebut didalam mencari artifak lama? Kebanyakan artifak lama adalah sensitif, mudah rosak jika tidak betul cara pengendaliannya dan juga akan jatuh nilainya jika ianya sudah rosak. Cerita mengali lubang itu sahaja sudah membuatkan saya musykil, adakah proses mengali lubang itu tadi tidak akan merosakkan artifak didalam gua tersebut.

Apa pendapat anda? Adakah benar adanya harta karun bernilai berbillion ringgit di Pulau Nangka, Melaka?