Rabu, 14 Ogos 2013

Logo & Tema Merdeka Malaysia 2013

Kepada rakan-rakan coin collector diluar sana, rasanya apa yang dibincangkan didalam post; Syiling peringatan baru Malaysia 2013? hampir 90% betul, Duit syiling Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 akan dikeluarkan. Namun, pelancarannya akan diadakan di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 16 September 2013.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 3 Ogos yang lalu sempena Pelancaran "Logo & Tema Merdeka Malaysia 2013".

Tahun ini, tema ‘Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku’ telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dipilih sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-56. Tema yang lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan Negara bangsa ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan Negara disamping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan Negara.

Selaras dengan pendekatan tema ini, konsep sambutan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan Negara. Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan.

Sempena pemilihan tema ini, satu pertandingan logo kemerdekaan juga turut diadakan selama 10 hari dan dibuka kepada rakyat Malaysia. Hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang utama bernilai RM5,000 serta sijil penghargaan serta 10 hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap satu dan sijil penghargaan. Logo yang dipilih bagi tahun ini ialah seperti di Lampiran. Sebanyak 480 penyertaan daripada rakyat Malaysia telah diterima.

LOGO HARI KEBANGSAAN KE-56 2013
Merdeka 56

Rasional logo :
Imej grafik bernombor 56 adalah simbolik sempena Hari
Kemerdekaan Ke-56. Imej berwarna merah dan putih
melambangkan Jalur Gemilang menyaluti simbol 56
menandakan kecintaan dan keharmonian tanahair yang
merdeka. Manakala Bulan Sabit melambangkan kedaulatan.
DIREKA OLEH : NOOR HISHAMMUDIN BIN OMAR


Acara-acara Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56:
i) Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 16 Ogos 2013 di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah.
ii) Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2013 akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya. Acara yang bermula pada jam 5.00 petang itu dimeriahkan dengan Karnival Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya.
iii) Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-56 pula diadakan pada 31 Ogos 2013 melibatkan persembahan Pasukan Keselamatan Negara yang terdiri daripada gabungan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Turut diadakan pameran aset pasukan keselamatan negara dan demonstrasi lintas udara oleh PDRM dan ATM. Acara ini melibatkan empat segmen iaitu Rukunegara, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteran Bersama dan MalaysiaKu Berdaulat : Tanah Tumpahnya DarahKu dengan penyertaan lebih kurang 4,000 orang termasuk acara formasi di padang.


Acara-acara Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50:
i) Acara Bot Berhias yang akan diadakan pada 15 September 2013 bertempat di tebingan Sungai Sarawak.
ii) Acara sambutan di Sarawak diadakan pada sebelah siang 16 September 2013 di Padang Merdeka, Kuching dan dijangka turut melibatkan pelancaran duit syiling khas sempena Jubli Emas sambutan berkenaan.
iii) Sambutan acara Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 di Sabah pula akan diadakan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Pelbagai program diadakan sempena sambutan ini bermula pada 15 September 2013 termasuk pelbagai aktiviti Karnival Rakyat. Acara kemuncak sambutan pada 16 September 2013 di Sabah akan dimeriahkan dengan penyertaan semua kaum di Sabah yang terdiri dari 35 kumpulan kaum/etnik yang lengkap dengan pakaian tradisional suku kaum masing-masing dan akan diadakan pada sebelah malam.

Untuk senarai penuh logo dan tema merdeka daripada tahun 1970 sehingga yang terkini, anda boleh melayari artikel saya; Koleksi Lengkap Logo & Tema Merdeka.


Komen Penulis
Namun, apa yang saya pelik adalah tidak ada dinyatakan sambutan 50 tahun penubuhan Malaysia itu akan diadakan di Semenanjung Malaysia, hanya di Sabah Sarawak. Adakah bermakna Sabah dan Sarawak sahaja yang akan menyambut 50 tahun penubuhan Malaysia? Sepatutnya acara besar-besaran diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

"Double Standard" yang dilakukan oleh kerajaan ke atas Sambutan Penubuhan Malaysia ini sudah lama disuarakan oleh ramai rakyat Sabah & Sarawak. Biasanya sambutan yang diadakan hanyalah seperti melepaskan batuk ditangga sahaja berbanding dengan Sambutan 31 Ogos, Hari Penubuhan MALAYA. 

Mungkin juga kerajaan cuba untuk mengelakkan masalah kesesakan di Kuala Lumpur.

Ada juga kemungkinan mereka cuba untuk mengelakkan ada kumpulan politik yang membuat kacau didalam Sambutan Penubuhan Malaysia tersebut. Tetapi adakah dengan mengadakannya di Kuching, kemungkinan sebarang gangguan berlaku itu menjadi kurang?

Selain itu, tidak ada diumumkan sebarang logo untuk Jubli Emas Malaysia atau Sambutan 50 tahun Malaysia. Sambutan Jubli emas Malaysia, sekurang-kurangnya logonya adalah berbeza daripada Logo Kemerdekaan 31 Ogos. 

Ada kemungkinan juga Syiling 50 tahun penubuhan Malaysia itu akan hanya berlogokan JATA NEGARA. Kalau nasib tak baik, mungkin berlogokan sambutan Kemerdekaan 56 tahun ini. Saya tak katakan ianya tak cantik tapi Logo ini tidak sesuai untuk sambutan penubuhan Malaysia. Kalau nak gna yang ini tunggulah bila "Malaysia" sudah 56 tahun.