Sabtu, 29 Jun 2013

Bertanya hal numismatik kepada BNM?

Minggu lepas, kebetulan apabila saya bertemu dengan Sifu Dickson Niew beliau juga ada mengutarakan isu mengenai meminta penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai hal numismatik. Sebelum itu, 2 bulan yang lalu (rasanya), isu ini ada dibincangkan dengan rakan-rakan saya. Isu ini timbul apabila ada yang mencadangkan supaya saya membuat surat rasmi kepada BNM bertanyakan kepada mereka tentang isu kenapa 10 sen 1971 hanya ada 32,236 keping yang ditempa, apa yang berlaku sebenarnya?

BNM

Sebelum kita berbicara lebih lanjut, sila baca informasi mengenai Bank Negara Malaysia di artikel lama saya; Bank Negara Malaysia.

Walaupun Objektif utama BNM adalah untuk "mengeluarkan mata wang, Ringgit Malaysia dan menyimpan rizab menjaga nilai mata wang". Anda perlu ingat, BNM hanyalah badan yang mengeluarkan matawang untuk Malaysia, bukannya sebuah badan yang menumpukan kepada numismatik.

BNM mempunyai Kilang Wang dan mengeluarkan syiling peringatan hampir setiap tahun, sekali lagi diingatkan numismatik bukan bidang utama BNM. Kilang Wang Di Shah Alam itu tidak bergerak dengan sendirinya seperti mana ketika ia dibawah Royal Mint Malaysia. Walaupun Kilang Wang di Shah Alam itu mempunyai data dan informasi mengenai duit syiling yang ditempa, mereka tidak boleh mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran BNM.

Anda juga perlu ingat, BNM seperti badan kerajaan yang lain juga ada masalah birokrasi, red tape dan juga office politic mereka. Mereka tidak akan menjawab soalan kita jika bagi mereka ianya tidak perlu walaupun mereka tahu apa jawapannya. Tidak perlu disini bermaksud jawapan kepada soalan itu bukan tanggungjawab mereka dan jika mereka tidak jawab pun mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

Ramai collector baru dan juga bukan collector yang beranggapan, BNM adalah satu badan kerajaan yang menjaga hal-ehwal numismatik. Ini memang satu perkara yang memeningkan untuk diterangkan kepada mereka. Hinggakan ada yang beranggapan, harga duit lama ini semua dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Apa-apa hal mengenai numismatik lebih baik rujuk kepada BNM.

Pernah tak anda baca mengenai jumlah mintage duit syiling di laman web BNM?

Pernah tak anda baca mengenai jumlah duit palsu yang didapati ada didalam edaran di laman web BNM?

Apatah lagi nak tanya berkenaan dengan variety duit syiling kepada BNM.

Bukan semua kakitangan BNM itu tahu mengenai data dan informasi duit syiling Malaysia sebab bukan semua kakitangan BNM tu kerja buat duit.

Buku yang dikeluarkan oleh BNM pun ada salah informasi dan mempamerkan duit lama yang palsu.

Anda juga perlu ingat, BNM mungkin tidak begitu terbuka mengenai perkara ini kerana telah menjadi trend di Malaysia ini apa-apa sahaja akan menjadi isu politik. Jika informasi tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh BNM, pasti ada yang akan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu tersebut. Tengok sahaja apa yang berlaku kepada duit syiling baru, macam-macam cerita timbul. Semua tidak ada semangat Patriotik kepada negara mereka. Semua nak berfikiran negatif kepada produk yang dihasilkan oleh Malaysia.

Jika anda tidak percaya, cubalah bertanya hal numismatik kepada BNM. Buat surat rasmi kepada mereka dan tengok apa jawapan mereka.

Saya menulis artikel ini berdasarkan pengalaman, terpulang kepada anda untuk menerimanya atau tidak.