Isnin, 15 April 2013

Misteri 1 sen 1979 nickel

Kenapakah saya katakan 1 sen 1979 nickel adalah satu misteri?

Pertama sebab ramai bukan collector yang terpikat dengan harganya yang tinggi walaupun tak faham apa yang dimaksudkan dengan nickel tersebut. Tak faham dan bertanya dengan rakan collector takpelah juga. Masalahnya saya lihat ramai daripada bukan collector yang mengaku mereka ada duit syiling 1 sen 1979 nickel dan yang terlebih pandai tu siap tunjuk gambar lagi kat Facebook duit syiling 1 sen berwarna coklat gelap.

Kedua sebab ramai daripada collector termasuklah saya yang tidak pernah melihat duit syiling 1 sen 1979 nickel ini, tengok gambar pun tak pernah.

1979 nickel

Pada asalnya saya menulis artikel ini untuk menerangkan kepada bukan collector bagaimanakah rupa duit syiling 1 sen nickel, itu saja. Namun, apabila saya mula membuka cerita dengan kawan-kawan mengenai duit syiling ini, ada ramai daripada mereka yang sama atau hampir sama pendapat dengan saya. Pendapat saya, duit ini wujud tetapi ianya bukanlah duit syiling edaran.

Jika anda adalah bukan collector dan sekadar hendak tahu berkenaan harga duit 1 sen, anda boleh baca artikel saya sebelum ini; Nilai duit syiling 1 sen mengikut tahun. Tak perlulah membuang masa untuk membaca artikel ini kerana bagi anda duit lama semua boleh dapat nilai tinggi sahaja. Soalan bukan collector ni hampir semua sama, "berapa nilai/harga duit yang saya ada". Tengoklah kat Facebook page saya, semua pun bertanya perkara yang sama. Padahal saya ada berkongsi mengenai harga duit lama Malaysia didalam blog ni. Malas sangat nak membaca dan nak mencari, semua nak main suap ke mulut sahaja.

Bagaimanakah rupa duit syiling 1 sen 1979 nickel?
Sebelum kita bercerita lebih panjang, lebih baik saya bantu rakan collector untuk memahami apakah yang dimaksudkan dengan duit syiling 1 sen 1979 nickel ini. Satu cara mudah untuk anda fahami, jika warna duit 1 sen anda ada itu sama dengan warna duit 1 sen Malaysia yang lain, ianya adalah duit 1 sen copper clad steel (biasa). Jika syiling 1 sen itu sama warnanya dengan duit 5, 10, 20 atau 50 sen yang lama ianya mungkin duit 1 sen nickel. Namun, ada juga yang cuba untuk menipu dengan membuatkan warna coklat merah pada duit 1 sen itu hilang dan juga yang menyadurkan (plated) duit syiling itu dengan logam yang mempunyai warna seakan nickel.

Dari mana timbul cerita mengenai duit syiling ini?
Kenapa duit ini saya katakan wujud? Sebab utama ianya ada direkodkan didalam buku Steven Tan; Steven Tan 20th edition Catalogue. Jika anda ada membaca interview saya dengan Master Sifu Steven Tan, anda akan faham bagaimana telitinya beliau membuat kerja. Beliau tidak akan memasukkan duit nickel 1 sen itu jika ianya tidak wujud atau hanya khabar angin. Reputasi beliau sudah terkenal dikalangan Numismatik diseluruh dunia. Beliau adalah pakar numismatik untuk Malaysia dan kebanyakan negara ASEAN yang lainnya.

Didalam buku Steven Tan tersebut ada disebut yang duit 1 sen 1979 Nickel (only two specimens known). Harganya adalah RM3,000 untuk gred Uncirculated dan juga RM4,500 untuk gred Brilliant Uncirculated.

Pendapat saya dan rakan-rakan mengenai duit ini:
Disini saya huraikan satu persatu teori dan pendapat yang diutarakan oleh rakan-rakan mengenai duit syiling ini. Ianya adalah berdasarkan pendapat yang saya rasakan jawapan kepada misteri duit syiling rare ini:

1. Didalam buku Steven Tan dinyatakan "only two specimens known". Berbanding dengan kenyataan yang ditulis untuk 1 sen 1976 Bronze "Less than 100 pieces known to exist". Duit Specimen adalah duit contoh untuk memberi gambaran kepada duit syiling yang akan ditempa. Apa yang ada didalam buku Steven Tan tersebut adalah rekod untuk duit syiling Specimen untuk 1 sen 1979. Duit specimen tidak semestinya mempunyai rekabentuk yang sama dengan duit edaran dan untuk pengetahuan anda semua, ada beberapa lagi duit syiling specimen Malaysia yang tidak direkodkan didalam mana-mana buku dan juga blog yang saya tidak dapat kongsikan kepada anda kerana tidak mendapat kebenaran daripada pemiliknya.

2. Sebelum ini ada khabar angin yang mengatakan pegawai di Kilang Wang Bank Negara berpeluang untuk membuat duit syiling istimewa sempena harijadi mereka sendiri. Mereka boleh membuat sekeping duit syiling yang rare dan istimewa sebagai hadiah daripada Bank Negara kepada mereka. Duit syiling 1 sen 1979 nickel ini mungkin adalah sebahagian daripada duit yang diperkatakan tersebut.

3. Duit syiling yang ada itu kemungkinan adalah duit yang disadurkan dengan bahan logam yang mempunyai warna seakan nickel. Namun, pada pendapat saya perkara ini adalah mustahil berlaku kerana ianya direkodkan oleh Master Sifu Steven Tan dari dulu lagi. Beliau sudah semestinya telah membuat pemeriksaan yang teliti sebelum membuat keputusan untuk memasukkannya ke dalam buku katalog beliau.

Terpulang kepada anda untuk menilai. Jika anda ada pendapat anda sendiri, sila kongsikannya diruangan komen.

Mungkin suatu hari nanti saya akan cuba bertanya dan mendapat penjelasan daripada Master Sifu Steven Tan berkenaan hal ini. Mana tahu kita semua dapat berpeluang untuk melihat koleksi duit syiling 1 sen 1979 nickel tersebut dan merungkai misterinya.