Isnin, 28 Januari 2013

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Rasanya semua orang tahu akan pepatah, Melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi. Namun, tidak semua mengamalkannya terutamanya kepada hobi mengumpul duit lama yang semakin kurang peminatnya dikalangan kanak-kanak akibat daripada arus kemodenan yang semakin pesat.

Malaysia sudah menjadi negara maju (walaupun pemimpin negara masih mendakwa kita adalah negara membangun) secara kita sedar ataupun tidak. Di waktu kita kecil dahulu, tidak ada PSP, PC, Laptop, Ipad, Galaxy Tab dan sebagainya.

malaysia coin

Permainan kanak-kanak dulu-dulu lebih kepada apa yang ada di sekitar kita. Siapa yang ingat permainan budak-budak yang popular suatu ketika dahulu seperti baling selipar, galah panjang, lompat getah, polis sentri, Datuk harimau, Teng-teng, guli dan gasing? Anda pastinya seusia dengan saya. Permainan ini kebanyakannya sudah dilupakan oleh kanak-kanak zaman sekarang. Jika ada pun ianya mungkin hanya dimainkan di rumah-rumah kebudayaan dan juga muzium sejarah.

Kita memang tidak boleh lari dari pembangunan. Namun, kita juga perlu mengekalkan budaya dan tradisi kita supaya ianya tidak lenyap ditelan zaman.

Hobi mengumpul duit lama walaupun bukanlah suatu tradisi tetapi adalah suatu hobi yang perlu kita turunkan ilmunya kepada generasi baru.

Jika tidak, suatu hari nanti muzium kita akan dipenuhi dengan duit lama Malaysia yang palsu sahaja. Bukti sudah jelas didepan mata, salah satu muzium yang terkenal di negara ini dipenuhi dengan duit lama Melaka yang tidak pernah digunakan didalam zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ketika kita sibuk berbicara mengenai Pilihanraya umum yang akan menjelang tidak lama lagi. Orang luar sibuk mentertawakan kita kerana kita sendiri tidak ada ilmu tentang duit lama yang pernah digunakan dinegara kita.

Suatu hari nanti, mungkin kesemua duit lama yang sukar didapati hanya akan dapat dilihat didalam buku sejarah atau buku duit lama. Kebanyakannya sudah habis dijual di eBay.com.my atau Mudah.my. Semua orang sibuk mencari untung sehingga lupa untuk menyimpannya untuk tatapan anak cucu dimasa hadapan.

Dokumen, kajian serta buku mengenai sejarah duit di Malaysia adalah terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan duit daripada negara lain. Jika adapun isinya adalah hampir sama sahaja. Tidak semua orang mempunyai kemampuan untuk menulis buku tetapi rasanya hampir semua pengumpul duit lama boleh mewariskan ilmu numismatik yang ada kepada anak masing-masing.

Bukan mudah memupuk minat kanak-kanak untuk mengumpul duit lama. Saya banyak kali melihat sifu-sifu yang sudah berusia, anak-anak mereka tidak berminat untuk mewarisi hobi ini. Lantaran itu, koleksi yang mereka ada dijual didalam acara lelongan.

Apabila saya bertanya kenapa anak-anak mereka tidak berminat dengan hobi ini. Kebanyakannya memberikan jawapan anak-anak mereka mempunyai kerjaya yang hebat; doktor, jurutera, peguam dan juga juruterbang.

Sewaktu kecil, kebanyakan dari anak-anak mereka terlalu disayang, minta apa sahaja akan dibagi tetapi duit koleksi yang ada tidak dibenarkan untuk disentuh kerana dikhuatiri akan merosakkan gred koleksi wang lama tersebut.

Kata orang, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Fikir-fikirkanlah....