Saturday, April 21, 2018

Medallion Tun Mahathir dilelong RM1,777

Medallion dengan potrait Tun Mahathir bin Mohamad bersama-sama dengan Lee Kuan Yew dilelong pada harga RM1,777 (tanpa premium pembeli) di dalam acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) Auction 11/2018 di Hotel Landmark Village, Singapura hari ini.

Anugerah Pencapaian Milenium ASEAN

Sepertimana Tun Mahathir, Lee Kuan Yew juga sentiasa enggan untuk mempamerkan imejnya pada patung, wang atau memorabilia. Medallion ini adalah yang pertama memaparkan potrait Lee Kuan Yew dan juga medallion yang pertama memaparkan Lee Kuan Yew bersama Tun Mahathir.

Anugerah Pencapaian Milenium ASEAN telah diberikan oleh Forum Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Forum), sekumpulan pemimpin perniagaan dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara pada 10 September 2001. Medallion ini dikeluarkan dengan kerjasama ASEAN Business Forum dan The Asian Strategy and Leadership Institute dan ditempa oleh Singapore Mint.

Syiling Mas

Selain daripada itu, syiling Kesultanan Melayu juga menjadi tumpuan di dalam acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) 11/2018. Syiling Mas Johor (Lot 0186) dilelong pada harga RM8,885 (tanpa premium pembeli). Syiling rare Sultan Abdullah Shah (1615-1623) tersebut mempunyai tulisan Sultan Abdullah Shah di bahagian hadapan dan Khalifatul Muminin dibahagian belakang (SS11).

Tampang

Tampang timah Pahang (Lot 0214) dijual pada harga RM2,961 (tanpa premium pembeli). Tampang timah Pahang yang bersaiz 80mm x 80mm dengan tulisan Malik Al Adil dikeluarkan pada tahun 1257H (1842). Ianya masih belum direkodkan didalam mana-mana buku rujukan numismatik.

Tiada bidaan untuk syiling 1 sen 1988 (Lot 0352) yang mendapat gred MS 64 RB dari Numismatic Guaranty Corporation (NGC).

Premium pembeli adalah 15% untuk lelongan Floor Bid, untuk lelongan melalui internet adalah 20% daripada harga lelongan.