Isnin, 24 Ogos 2015

Bak cendawan tumbuh selepas hujan

Pada malam Sabtu baru-baru ini, saya berpeluang bertemu dengan Chee Ly atau lebih dikenali sebagai Uptown Banknote dikedainya di Shah Alam. Kami berbincang mengenai isu kumpulan Numismatik di Facebook yang sudah terlalu banyak, "bak cendawan tumbuh selepas hujan".

numismatik Malaysia

Pada mulanya saya bertanya kepada Chee Ly kenapa dia sekarang ini tidak lagi aktif di Facebook berbanding tahun-tahun sebelumnya. Apa yang dikongsikan oleh beliau bagi saya adalah wajar untuk dikongsi kepada semua.

Beliau memberitahu, semasa group numismatik di Facebook baru sahaja aktif pada tahun 2013, tidak banyak kumpulan numismatik yang dibuka. Hanya ada beberapa kumpulan numismatik yang aktif seperti Kedai Hantu Duit 2 dan juga Kemaruk Duit Lama.

Pada waktu itu, semua tertumpu kepada kumpulan-kumpulan tersebut sahaja. Oleh yang demikian, walaupun ramai penjual, bakal pembeli juga ramai serta berkumpul di kumpulan-kumpulan ini sahaja.

Menurutnya lagi, untuk group Kemaruk Duit Lama, mereka yang baru menyertai kumpulan tidak dibenarkan untuk terus menjual. Mereka diberi satu tempoh masa sebelum dibenarkan untuk membuat lelongan duit lama mereka sendiri.

Kes-kes penipuan, walaupun ada berlaku tetapi agak mudah memaklumkan di Facebook kerana hanya ada beberapa group sahaja yang aktif. Maklumat mengenai penipuan akan dikongsi sesama admin group yang kemudiannya akan menyebarkan di group masing-masing.

Berbeza dengan apa yang berlaku pada ketika ini, ada lebih kurang 100 kumpulan numismatik Malaysia dan lebih kurang 30 kumpulan numismatik yang agak aktif. Kewujudan kumpulan-kumpulan ini menyebabkan bakal pembeli berpecah kepada banyak kumpulan.

Masing-masing mahu membuka kumpulan sendiri untuk memudahkan mereka menjual duit lama serta mengumpul ahli kumpulan masing-masing.

Admin-admin group kumpulan baru ini biasanya akan aktif sekejap didalam group-group yang lebih lama. Mereka ini biasanya akan menarik pengaruh dengan berkongsi ilmu dan pendapat didalam kumpulan-kumpulan tersebut. Apabila, "nama" mereka telah dikenali, mereka akan membuka kumpulan baru dan menjemput ahli-ahli didalam kumpulan tersebut yang mereka rasakan boleh "bersekongkol" dengan mereka.

Ada juga admin group yang tidak menjaga ahli baru yang tidak dikenali dan berakhir dengan transaksi penipuan oleh ahli tersebut.

Pada pendapat saya juga, agak kurang kumpulan Facebook, Facebook page atau blog-blog Numismatik Malaysia yang sudi untuk berkongsi ilmu mengenai numismatik Malaysia. Kebanyakkannya lebih tertumpu untuk jual beli sahaja. Pendapat saya juga, hanya ada beberapa kumpulan Facebook yang wajib anda sertai kerana mereka berkongsi maklumat bukan sekadar jual beli. Namun, ada juga kumpulan ini yang sudah tidak aktif lagi.

Pendapat anda pula bagaimana?