Ahad, 7 Jun 2015

Perdana Menteri tanpa Syiling Peringatan

Tun Dr Mahathir bin Mohamad adalah satu-satunya mantan Perdana Menteri tanpa Syiling Peringatan. Walaupun jasanya kepada Malaysia adalah sangat bermakna dan pada pendapat saya tidak ada tolok bandingnya dengan Perdana Menteri Malaysia yang lain. Bank Negara Malaysia tidak pernah lagi mengeluarkan syiling peringatan yang memaparkan potrait Tun Mahathir.


Khabar angin mengatakan Tun Mahathir sendiri yang tidak mahu potraitnya di abadikan pada duit syiling peringatan.

Betul atau tidak, tidak ada lagi dokumen yang mengesahkan perkara tersebut.

Jika anda seorang collector, anda pasti tahu bahawa Tunku Abdul Rahman telah banyak kali potraitnya di abadikan pada syiling peringatan Malaysia. Kali pertama, adalah pada tahun 1971, syiling peringatan bapa kemerdekaan Malaysia. Kemudiannya, pada syiling 25 tahun ulangtahun Kemerdekaan. Kali terakhir pada tahun 2004, 100 tahun ulang tahun Bapa Kemerdekaan.

Potrait Tun Abdul Razak Hussein pula mula di abadikan pada syiling peringatan Rancangan Malaysia Ke-3 pada tahun 1976. Pada tahun 2006, syiling sambutan 50 tahun FELDA turut mengabadikan potrait Tun Abdul Razak pada syiling tersebut.

Potrait Tun Hussein Onn di abadikan pada syiling peringatan Rancangan Malaysia ke-4.

Potrait Tun Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di abadikan pada Syiling peringatan rancangan Malaysia ke-9.

22 Tahun memerintah Malaysia, daripada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, dimanakah Syiling Peringatan Tun Dr Mahathir bin Mohamad? Tidak cukupkah jasa yang ditaburkan olehnya kepada negara ini?

Secara umumnya, para collector semua tahu, potraitnya hanya ada di abadikan pada syiling medallion yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan.

Pendapat peribadi saya, di dalam keadaan sekarang ini, adalah agak mustahil untuk melihat Syiling Peringatan Tun Dr Mahathir akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Jika ada cadangan pun, sudah pasti ianya tidak akan diluluskan oleh pegawai tertinggi BNM.

Itu hanya pendapat peribadi saya dan setahu saya tidak ada lagi khabar angin mengenai Syiling Peringatan Tun Dr Mahathir.

Ramai daripada rakan-rakan yang bertanya, adakah Syiling Peringatan Rancangan Malaysia Ke-11 akan dikeluarkan. Namun, ramai juga yang lupa, Perdana Menteri paling berjasa untuk Malaysia tidak pernah dikeluarkan Syiling Peringatan untuk mengingati jasa-jasa beliau.

Jika ada Perdana Menteri lain potraitnya tidak di abadikan pada syiling peringatan Malaysia saya tidak kisah kerana jasa-jasa mereka tidak mungkin boleh menandingi jasa yang ditaburkan oleh Tun M kepada Malaysia. Jika dulu, sebut sahaja Malaysia, pemimpin luar akan gerun dengan pendirian tegas Malaysia tentang pencerobohan Israel ke atas Palestin serta perkara-perkara penindasan negara islam. Sekarang ini?

Janganlah pula dimasa hadapan, collector terpaksa membeli Syiling Peringatan Tun Dr Mahathir yang dikeluarkan atas nama negara "Niue" kerana negara "Malaysia" tidak mahu mengeluarkan Syiling Peringatan untuk memperingati jasa beliau.