Khamis, 21 Mei 2015

Adakah duit syiling RMK 11 akan dikeluarkan?

Ramai yang bertanya kepada saya, adakah duit syiling RMK 11 akan dikeluarkan? Macam saya pula yang nak keluarkan syiling Malaysia setiap kali ada isu penting didalam negara. Kalaulah saya mempunyai kuasa dan modal kewangan nak keluarkan duit syiling, tak perlu tanya, 3 bulan sebelum syiling nak keluar saya dah beritahu.

RMK 11

Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) baru sahaja dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Dewan Rakyat hari ini (21 Mei 2015) dengan tema, "Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat".

Di antara intipati Rancangan Malaysia Ke-11 adalah:
  • KDNK Malaysia mencecah RM2.6 trilion pada 2030 (RM1.4 trilion pada 2020);
  • KDNK per kapita dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada RM117,260 pada 2030 (2020: RM54,890);
  • Perdagangan dunia dijangka meningkat kepada US$44 trilion pada 2030 (US$26 trilion diunjurkan pada 2020);
  • Sasaran RMK-11 menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar sebenar berkembang 5.6 peratus setahun;
  • Produktiviti pekerja meningkat kepada RM92,300 pada 2020 (2015: RM77,100)
  • Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencecah RM54,100 (US$15,690) pada 2020;
  • Purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat kepada RM10,540 pada 2020 (2014: RM6,141);
  • Inflasi kekal rendah di bawah 3.0 peratus;
  • Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan terus berkurangan kepada kurang daripada 45 peratus pada 2020;
  • Hasil berkembang sebanyak 7.9 peratus setahun dan pergantungan kepada hasil berkaitan minyak berkurangan kepada 15.5 peratus pada 2020;
  • Pengenalan GST akan menyumbang pendapatan sebanyak RM31.4 bilion setahun dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM15.5 bilion yang dikutip menerusi cukai jualan dan perkhidmatan dalam RMK-10.

Kali terakhir Bank Negara Malaysia mengeluarkan syiling peringatan Rancangan Malaysia adalah Syiling Peringatan Rancangan Malaysia Ke-9 yang dikeluarkan pada 6 November 2006. Pada bahagian hadapan duit syiling bagi kesemua denominasi memaparkan potret Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada tahun 2010, ada khabar angin yang bertiup kencang mengatakan syiling Rancangan Malaysia Ke-10 akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Khabar Angin itu berlanjutan sehinggalah ke tahun 2013 tetapi tidak ada syiling tersebut dikeluarkan. Jika anda adalah pembaca setia blog saya, anda pasti dapat melihat rekabentuk syiling yang dikatakan tersebut. Gambar itu telah saya delete kerana pemilik gambar itu tidak membenarkannya disiarkan.

Saya tidak berminat dengan politik tetapi sebelum hendak mengeluarkan syiling dengan portrait seorang pemimpin, ada banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Bank Negara Malaysia, silap langkah, ramai yang tidak akan mahu membeli syiling tersebut. Namun, daripada apa yang saya lihat daripada syiling-syiling yang dikeluarkan sebelum ini, syiling yang dikeluarkan adalah atas arahan orang atasan bukan berdasarkan kehendak pasaran.

Oleh itu, saya berpendapat, jika ada arahan daripada orang atasan dan rekabentuk syiling tersebut diluluskan, tidak mustahil akan ada Duit Syiling Rancangan Malaysia ke-11 dikeluarkan oleh Bank Negara. Mana tahu minggu ni ada khabar mengejutkan sekali lagi untuk pengumpul syiling peringatan?

Setakat ini, apa yang ada hanyalah khabar angin sahaja, tidak ada berita dari sumber yang boleh dipercayai. Selain itu, ramai kakitangan Bank Negara yang tidak mahu membuka mulut mengenai syiling peringatan yang akan dikeluarkan. Mungkin, kalau mereka buka mulut, nanti kita ramai-ramai tak nak beli syiling peringatan kot?

PS: Gambar Duit Syiling Rancangan Malaysia ke-11 yang disiarkan di atas hanya hiasan.