Rabu, 6 Mei 2015

Syiling Pattern Malaysia akan dilelong di Singapura

Jika anda seorang peminat numismatik Malaysia, anda pasti saja tahu baru-baru ini acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) 5/2015 baru saja berakhir. Jika anda menyimpan buku auction tersebut, anda pasti akan perasan ada set syiling pattern Malaysia akan dilelong dalam auction CAA 6/2015 di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2015.

syiling pattern Malaysia

Jika anda semua masih ingat lagi, pada 21 September 2014, History Channel di Astro ada menayangkan siri "Time Capsule Malaysia" yang berkongsi video mengenai Malaysia yang tidak pernah ditayangkan kepada umum. Didalam siri pada tarikh tersebut, ada ditayangkan video para pemenang pertandingan mencipta rekabentuk duit syiling Malaysia menerima hadiah masing-masing daripada Menteri Kewangan ketika itu Tun Tan Siew Sin, pertandingan itu dimenangi oleh En. Michael Yong.

Khabar angin menceritakan bahawa apabila Tun Ismail Mohd Ali berjumpa dengan Perdana Menteri pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman dengan menunjukkan syiling tersebut, tunku berkata,"ini tidak boleh, nanti orang ingat kita makan haiwan ini, apa kata letakkan saja gambar bangunan Parlimen, ianya lebih sesuai kerana kita mengamalkan demokrasi berparlimen."

Betul atau tidak, ianya sudah menjadi sejarah.



Motif rekabentuk syiling oleh En. Michael Yong memaparkan haiwan sebagai tema utama antaranya; Monyet Belanda, burung bangau, tapir, tenggiling, kijang dan burung merak. Dua syiling tersebut diperbuat daripada tembaga dan selebihnya adalah copper-nickel. 2 syiling pula memaparkan denominasi 10 sen dengan rekaan yang berbeza.

Hanya ada lebih kurang 4 set pattern coin ini didunia. Pada 31 Ogos 1989, Maybank telah memenangi satu set syiling pattern Malaysia 1966 ini pada harga USD$3500 pada acara lelongan di Numismex 1989,International Coin & Paper Money Auction & Exposition, Singapura.

Adakah muzium atau syarikat korporat Malaysia yang mempunyai sumber kewangan untuk membeli set syiling ini?

Ianya adalah khazanah negara yang sepatutnya dijaga dan disimpan didalam negara kita sendiri.

Tidak dinyatakan didalam buku katalog tersebut berapakah harga yang ditawarkan untuk set syiling tersebut. Namun, jika dilihat pada trend lelongan Collectibles Auction Asia sebelum ini, harganya sudah pasti berpuluh ribu Dollar Singapura yang jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, cukup untuk membeli sebuah kereta sedan. Pastinya harga yang tidak mampu milik untuk collector picisan seperti saya.

Jika anda mengenali En. Michael Yong dan mungkin dia masih menyimpan kerja seni (artwork) berkaitan syiling ini, mohon juga untuk memberitahu saya dan rakan-rakan. Ianya mungkin sejarah yang kurang bermakna untuk orang lain tetapi bagi peminat numismatik, ianya cerita yang menarik untuk dibaca dan dikongsi bersama.