Tuesday, April 28, 2015

Wajarkah syiling peringatan kena GST?

Hari Isnin (27 April), Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan jualan syiling peringatan ASEAN 2015. Namun apa yang menjadi persoalan kepada semua pengumpul dan pelabur syiling peringatan adalah, adakah wajar BNM mengenakan GST kepada jualan syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara?

GST logo

Mengikut Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang mula berkuat kuasa pada 13 Oktober 2014, hanya syiling bullion sahaja yang dikecualikan dari GST termasuklah juga syiling kijang emas Bank Negara. Mana-mana syiling peringatan adalah dikira sebagai barang-barang yang dikenakan GST.

4. (1) Tertakluk kepada subbutiran (2), logam berharga pelaburan adalah seperti yang berikut:
(d) mana-mana syiling emas yang berikut yang atau telah sah diperlakukan di negara asalnya, dan mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99.5%:

(i) syiling America Buffalo;
(ii) syiling Australia Kangaroo Nugget;
(iii) syiling Australia Lunar;
(iv) syiling Austria Philharmoniker;
(v) syiling Canada Maple Leaf;
(vi) syiling China Panda;
(vii) syiling Malaysia Kijang Emas;
(viii) syiling Mexico Libertad;
(ix) syiling Singapore Lion;
(x) syiling United Kingdom Britannia;

(e) mana-mana syiling perak yang berikut yang atau telah sah diperlakukan di negara asalnya, dan mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99.9%:

(i) syiling America Eagle;
(ii) syiling Australia Kookaburra;
(iii) syiling Australia Koala;
(iv) syiling Australia Lunar;
(v) syiling Austria Philharmoniker;
(vi) syiling Canada Maple Leaf;
(vii) syiling China Panda;
(viii) syiling Mexico Libertad;
(ix) syiling United Kingdom Britannia;

(2) Subbutiran 1(d), (e) dan (f) tidak termasuk syiling iaitu suatu proof coin, suatu syiling numismatik atau suatu syiling pengumpul.

info lanjut di: http://www.treasury.gov.my/pdf/gst/gst_kecuali.pdf

Jika kita melihat kepada negara lain yang mempunyai kilang wang, di Kanada misalnya mereka mempunyai harmonized sales tax (HST) dimana Goods and Services Tax (GST) dan regional Provincial Sales Tax (PST) digabung menjadi satu. Untuk mendapat pengecualian cukai, ketulenan minima untuk emas dan platinum adalah 99.5% serta 99.9% untuk perak. Ini termasuklah barangan yang dikeluarkan didalam bentuk bar, ingot, syiling atau jongkong. Syiling yang mencapai tahap minima juga perlulah sah diperlakukan oleh pihak berkuasa kerajaan. Anda boleh membaca maklumat ini di ruangan FAQ laman web Royal Canadian Mint.

Perth Mint dari Australia tidak mengenakan GST untuk Bullion sahaja.

Mengikut New Zealand Mint pula Emas, Perak dan Platinum dalam bentuk yang paling tulen dikecualikan cukai, sama ada ianya adalah bar atau syiling. Syiling emas Krugerrands dan American Eagles pula dikenakan GST kerana ianya tidak mencapai tahap minima ketulenan yang dikehendaki.

Ramai yang membuat spekulasi, keputusan untuk mengenakan GST untuk syiling peringatan yang dikeluarkan oleh BNM akan menyebabkan ramai pembeli terutamanya Metal Investor yang mengelak daripada membeli syiling peringatan. Ini kerana mereka terpaksa menambah 6% kepada nilai pelaburan mereka sedangkan nanti apabila mereka hendak menjual semula, nilai 6% itu akan terpaksa mereka tanggung sendiri.

Bank Negara Malaysia perlu melihat kepada keperluan untuk mengecualikan GST kepada syiling peringatan yang dikeluarkan oleh mereka. Kenapa syiling bullion luar negara yang mempunyai ketulenan yang rendah boleh dikecualikan dari GST tetapi syiling peringatan negara sendiri tidak boleh dibuat pengecualian?

Pada pendapat saya, GST wajar dikecualikan untuk syiling peringatan kerana sudahlah harga syiling perak yang ditawarkan agak tinggi dari nilai logam perak semasa, pelanggan juga terpaksa membayar harga cukai gst didalam pelaburan syiling peringatan mereka.

Pendapat anda sekalian bagaimana pula?