Isnin, 20 Oktober 2014

Betulkah duit Malaysia terjual beribu ringgit

Tahun lalu, apabila saya kongsikan berita mengenai syiling Malaysia terjual pada harga lebih RM10K, ramai yang bertanya saya, betulkah duit Malaysia terjual beribu ringgit? Apabila berita mengenai sekeping syiling Malaysia terjual lebih daripada RM81K baru-baru ini, soalan yang sama juga turut ditanya oleh mereka yang tidak faham apa yang berlaku didalam numismatik Malaysia.

duit harga sejuta

Semasa menulis artikel ini, saya beranggapan mereka yang bertanya soalan sedemikian turut mempunyai syiling pada nilai/denominasi serta tahun yang sama. Mereka sudah lama cuba menjualnya secara online atau dengan para penjual duit lama pada harga yang tinggi tetapi tidak berjaya menjualnya.

Saya juga beranggapan, mereka yang bertanya soalan sedemikian tidak percaya dengan berita tersebut kerana mereka tidak pernah membaca hal numismatik serta tidak tahu apa-apa hal berkaitan dengan numismatik.

Namun, dari pemerhatian saya sejak menulis blog dari tahun 2008 lagi, mereka yang bertanya seperti itu seringkali adalah mereka yang malas membaca artikel yang dikongsi serta tidak cuba memahami apa yang cuba disampaikan didalam artikel tersebut. Apa yang mereka pentingkan adalah "berapakah nilai duit tersebut?" Maklumat berkenaan kenapa duit syiling itu mendapat harga yang mahal yang biasanya telah saya kongsikan didalam artikel berita tersebut mereka akan terlepas pandang. Lihat sahajalah di wall Facebook page Malaysia Coin, berapa ramai yang asyik mempromosi syiling 50 sen terbelah mereka.

Mungkin masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak tahu, numismatik bukan lagi sekadar hobi di Malaysia pada masa ini. Numismatik telah menjadi satu daripada pelaburan dan juga pendapatan sampingan bagi segelintir rakyat Malaysia. Pada pendapat saya, pada ketika ini, kita mempunyai lebih ramai investor dan penjual online berbanding dengan pengumpul duit lama (collector). Cuma jumlahnya tidaklah sampai beratus ribu orang. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2014, ada lebih daripada 30juta rakyat Malaysia. Daripada jumlah itu, mungkin hanya 0.001% sahaja yang berminat dengan hobi numismatik dan turut serta didalam hobi ini. Bayangkan apa yang akan terjadi jika 10% rakyat Malaysia turut aktif didalam hobi numismatik ini.

Berita mengenai "numismatik" juga amat kurang kita baca terpampang didada akhbar kerana ianya tidak mendapat tempat dikalangan pembaca. Melainkan jika ianya ditambah dengan unsur mistik dan cerita-cerita dongeng yang mengasyikkan. Amat sukar untuk kita melihat akhbar ingin berkongsi berita mengenai sejarah numismatik. Paling kerap adalah berita mengenai syiling berusia ratusan tahun dan boleh mencecah harga berjuta ringgit. Jika tidak pun cerita mengenai duit dari kerajaan langit serta bunian yang boleh datang ke dalam mimpi setelah kita memiliki syiling mistik.

Tidak kurang juga collector sendiri yang tidak percaya, betulkah duit Malaysia terjual beribu ringgit? Dari apa yang saya lihat, kebanyakkan dari collector yang berkata demikian kerana mereka sendiri tidak mempunyai syiling yang serupa (denominasi, tahun serta gred yang sama). Mungkin akibat kecewa dengan diri sendiri yang tidak menyimpan/membeli koleksi sedemikian, mereka menafikan berita tersebut. Bagi mereka, duit syiling itu tidak wajar berharga mahal berbanding dengan koleksi yang mereka simpan kerana lebih sukar untuk mendapatkannya. Ada yang mengatakan ianya adalah suatu usaha untuk menaikkan harga sesuatu syiling tersebut tanpa menyiasat/melihat sendiri cerita yang berlaku ketika bidaan syiling itu dijalankan. Collector di Malaysia ini bukannya ramai, bukan susah pun nak kesan jika mereka ni menipu. Ingat lagi tak kes 1 sen 1976 dulu? Sepandai-pandai tupai melompat, semua orang tahu juga.

Betulkah duit Malaysia terjual beribu ringgit? Terpulang kepada anda untuk mempercayainya atau tidak. Saya hanya melaporkan kepada anda apa yang berlaku didalam numismatik Malaysia. Rajin-rajinlah membaca ilmu percuma yang saya kongsikan didalam blog ini.