Ahad, 30 September 2012

50 sen terbelah tepi

Walaupun sudah banyak kali saya bercakap mengenainya, masih ada lagi yang bertanya kepada saya berkenaan duit syiling 50 sen terbelah tepi atau 50 sen berparit; berapakah harganya dan adakah ianya bernilai tinggi kepada pengumpul duit lama. Ada juga yang berani menawarkan kepada saya duit syiling tersebut pada harga seribu ringgit. Murah sangat tu, alang-alang jual saja pada harga RM100,000. Dah jual nanti boleh berhenti kerja dan jual duit 50 sen belah tepi sepenuh masa. Hahahaha.... Susah betul nak bagi pelajaran percuma kepada mereka yang hanya kejar wang ringgit. Apabila kita terangkan yang duit itu nilainya tidaklah setinggi yang mereka sangkakan, kita pula yang menjadi mangsa sasaran rasa marah mereka.

50 sen parit

Seperti yang saya terangkan sebelum ini di post; Duit syiling 50 sen Parlimen, ramai daripada bukan kolektor tidak tahu bahawa duit syiling 50 sen terbelah tepi itu dipanggil oleh kolektor sebagai sisi sekuriti (security edge). Hanya ada 3 tahun di mana Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling 50 sen sisi sekuriti; tahun 1967, 1968 & 1969. Jika ada tahun yang lain daripada yang disebutkan di atas, ianya adalah duit syiling palsu atau yang diubah oleh penjual yang mencari keuntungan mudah dengan menipu orang lain.

Tempaan keluaran Duit 50 sen belah tepi:
1967 -15,000,000 pcs
1968 -12,000,000 pcs
1969 -2,000,000 pcs

Jika dilihat daripada senarai tempaan duit syiling yang dikeluarkan BNM, jumlah duit syiling terbelah tepi bagi tahun 1967 dan 1968 adalah agak banyak dan agak mudah untuk ditemui. Mana mungkin harganya mencecah sehingga beribu ringgit sekeping. Hanya untuk duit syiling 50 sen 1969 berparit pada kondisi yang tinggi uncirculated mempunyai harga yang agak tinggi sehingga mencecah RM300 sekeping kerana agak sukar mencari syiling pada tahun tersebut dengan kondisi sebegini.

Sebenarnya, duit syiling 50 sen tidak berparit (Milled Edge) yang mempunyai harga tinggi daripada syiling-syiling yang lain untuk 50 sen tahun 1967, 1968 dan 1969. Ramai bukan kolektor yang silap faham, mereka ingatkan duit syiling 50 sen berparit atau belah tepi yang mempunyai harga tinggi dipasaran, sebenarnya pengumpul duit lama mencari duit 50 sen milled edge ini. Harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit sekeping kerana agak sukar untuk menemuinya. Hanya ada lebih kurang 0.01% jumlah duit syiling milled edge daripada jumlah tempaan setiap duit syiling tersebut. untuk mengetahui lebih lanjut mengenai harganya, anda boleh membaca; Harga duit syiling 50 sen mengikut tahun.

Diharap, penulisan ini akan memberi pemahaman yang mendalam kepada bukan kolektor yang salah faham berkenaan duit syiling 50 sen terbelah tepi.