Setiap kali Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan jualan Syiling Peringatan ada sahaja isu baru yang ditimbulkan oleh collector. Untuk jualan Syiling Peringatan Agong ke-16 yang bermula semalam (19 Ogos) sehingga 23 Ogos 2019 (11.00 malam), hari pertama sahaja pelbagai isu yang ditimbulkan oleh collector.
Buat pertama kalinya, BNM membuat sistem baru dimana semua tempahan perlu dibayar sepenuhnya secara dalam talian (e-pembayaran) dengan menggunakan kad kredit / kad debit atau kemudahan perbankan dalam talian. Ramai daripada collector yang terkejut dengan sistem baru yang diperkenalkan serta tidak bersedia dengan wang pembayaran. Kebanyakkan pembeli berharap, BNM akan terus menggunakan kaedah tempah dahulu, kemudian bayar.
Pada pendapat kami, BNM cuba untuk mengurangkan masalah penjual yang untung di atas angin yang menyusahkan pihak BNM untuk mengadakan jualan semula untuk syiling-syiling yang tidak diambil oleh mereka-mereka ini.
Menurut BNM, bayaran bagi tempahan yang tidak berjaya akan dikembalikan kepada pembeli melalui kaedah e-pembayaran yang digunakan semasa tempahan. Bayaran mungkin dikembalikan kepada pembeli sebelum pengumuman keputusan tempahan. Persoalan lain, adakah pembayaran semula duit pembeli yang tidak berjaya itu boleh dilaksanakan dengan efisin? Jangan pula nanti pengguna hanya dapat semula wang pembayaran untuk duit syiling tetapi caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak diterima semula.
Selain itu, jumlah caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang agak tinggi (10%) juga menjadi bualan hangat para collector untuk jualan kali ini. Nampaknya, SST mempunyai caj yang lebih tinggi berbanding dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan; Bahasa Inggeris: Goods and Services Tax (GST) yang dikenakan pada kadar 6%. Untuk jualan kali ini, duit syiling peringatan emas (pruf) tidak dikenakan caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Isu pengambilan duit syiling hanya boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja biasa juga menjadi perbualan hangat para collector. Sebelum ini, pembeli dibenarkan untuk mengambil duit syiling peringatan yang ditempah pada hujung minggu. Pengambilan duit syiling pada hari dan waktu bekerja biasa sudah pasti menyulitkan pembeli terutamanya yang berada di Kuala Lumpur.
Pembeli duit syiling peringatan yang kebanyakkannya bekerja makan gaji terpaksa mengambil cuti untuk pergi mengambil duit syiling peringatan (seperti dulu). Jika duit syiling tidak dapat di ambil pada hari tersebut (jumlah pembeli yang ramai di Kuala Lumpur adakalanya menyebabkan kesesakan ketika mengambil syiling peringatan), pembeli terpaksa bercuti sekali lagi.
Ada juga rakan-rakan yang menyuarakan masalah tempat letak kereta jika pengambilan duit syiling dibuat di Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia (Blok D) berbanding dengan Sasana Kijang. Di Sasana Kijang yang mempunyai banyak tempat letak kereta pun menjadi sesak, inikan pula di Ibu Pejabat BNM.
Anda ada isu lain untuk jualan Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI yang ingin disuarakan?