Ahad, 5 Jun 2016

Cabaran mengumpul Syiling Peringatan BNM

Nampak mudah tetapi mengumpul syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebenarnya mempunyai cabarannya yang tersendiri. Tidak ramai sebenarnya yang mengumpul syiling peringatan di Malaysia, kebanyakkannya lebih kepada beli dan jual untuk keuntungan.

Syiling Peringatan

Cabaran utama kepada pengumpul syiling peringatan BNM adalah terpaksa bersaing dengan para penjual. Sebagai contoh mudah, syiling single silver yang dikeluarkan oleh BNM pada ketika ini sebanyak 500 set sebenarnya lebih dari cukup jika kesemuanya dijual kepada pengumpul syiling peringatan.

Namun, ramai penjual duit lama yang turut sama mencari ruang untuk membuat keuntungan segera. Ada yang membawa sehingga 20 orang upahan untuk turut sama berbaris ketika hari jualan syiling peringatan di adakan.

Ada juga penjual yang membeli terus daripada mereka yang telah selesai membeli syiling single silver. Harga tawaran sehingga RM150 (upah) untuk sekeping syiling single silver sudah cukup untuk menampung sedikit kos membeli syiling yang lain.

Collector tegar pada kebiasaannya cuba mengelakkan untuk membeli daripada penjual kerana harga mereka pada kebiasaannya hampir sekali ganda berbanding dengan harga jualan asal syiling tersebut oleh BNM.

Tidak ada salahnya para penjual ini menggunakan cara membawa orang upahan, runner dan sebagainya kerana mereka juga berbaris sepertimana rakan-rakan collector yang lain.

Cuma kehadiran mereka ini adakalanya tidak disenangi oleh collector kerana peluang untuk collector yang sebenar mendapat syiling peringatan adalah agak rendah apabila ramai daripada mereka ini berbaris di hadapan.

Bukan collector terutamanya kakitangan BNM biasanya salah anggap syiling tersebut mendapat sambutan yang hangat tetapi sebenarnya ramai orang yang berbaris awal tersebut kerana ingin mencuba nasib mendapatkan single silver yang mempunyai jumlah yang sedikit berbanding dengan set 2 dalam 1. Jika BNM mengeluarkan jumlah single silver yang sama dengan set 2 dalam 1 (2,000 set), sudah hampir pasti tidak ada yang mahu berbaris.

Satu lagi cabaran utama kepada pengumpul syiling peringatan adalah tidak semua jumlah syiling peringatan yang dikeluarkan oleh BNM itu akan dijual kepada orang ramai. Ada syiling yang dikhaskan untuk VVIP, ada syiling yang dijual kepada kakitangan BNM dan tidak kurang juga ada syiling yang dijual kepada organisasi atau kakitangan jabatan atau persatuan mengikut tema syiling peringatan tersebut.

Jika anda pengikut setia Malaysiancoin.com, anda pasti perasan, syiling single silver yang dijual BNM untuk 2 siri syiling peringatan sebelum ini tidak sampai separuh daripada jumlah mintage yang diumumkan.

BNM juga adakalanya menjual syiling peringatan tanpa memberi notis lebih awal kepada para pengumpul, hari ini umum, besok dah jual syiling peringatan. Kepada rakan-rakan pengumpul yang mendapat maklumat awal, ianya mungkin tidak menjadi satu masalah besar. Namun, kebanyakkan rakan-rakan yang bekerja makan gaji tidak dapat bercuti secara tiba-tiba dan kebiasaannya terlepas hari jualan syiling peringatan.

Satu lagi cabaran yang agak besar buat kami adalah rekabentuk (design) syiling peringatan yang pada kebiasaannya agak kurang menarik. Terutamanya apabila syiling perak diwarnakan, adakalanya warna yang dibuat itu menjadikan rekabentuk syiling tersebut menjadi kurang menarik. Kebanyakkan pengumpul syiling peringatan boleh memaksa diri membeli syiling peringatan kerana mereka sudah ada koleksi Syiling Peringatan BNM sejak dari awal lagi.

Pendapat anda bagaimana?