Ahad, 27 September 2015

Syiling Thailand untuk Kedah Perlis Kelantan Terengganu

Semalam di Facebook ada rakan-rakan yang membincangkan mengenai syiling penjajahan Thailand ke atas negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Syiling tersebut dikeluarkan oleh Thailand didalam 3 denominasi 1 cent, 5 cents dan 10 cents serta diperbuat daripada timah bertarikh 2486 kalendar Thailand (1943).

Thai coins

Didalam buku yang ditulis oleh Master Sifu Saran Singh The Encyclopaedia of the Coins of Malaysia, Singapore, and Brunei, 1400-1986, beliau menulis:
"Pada tahun 1941, tentera Jepun telah berjaya menakluk negeri Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan sebahagian besar Malaysia. Pihak tentera Jepun menyerahkan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada kerajaan Thailand pada bulan Jun 1943. Pihak Jepun berhasrat untuk membuat syiling mereka didalam denominasi 1 cents, 5 cents dan 10 cents dengan bertarikh 2486 kalendar siam (1943) untuk empat negeri tersebut. Namun, rancangan itu tidak berjaya dilaksanakan, syiling tersebut tidak diedarkan di empat negeri tersebut. Sebaliknya, ia digunakan Kelab rekreasi tentera Jepun di Bangkok. Syiling-syiling ini adalah amat sukar ditemui."

Syiling ini sebenarnya sudah lama dibincangkan didalam forum-forum mengenai numismatik tetapi tidak banyak maklumat yang boleh diperolehi. Kebanyakkan maklumat yang ditulis mengenai syiling Thailand adalah didalam tulisan Thailand dan ianya tidak ada direkodkan secara online. Tidak diketahui berapa banyak jumlah tempaan syiling ini. Adakah ianya telah dicetak (minted) untuk kegunaan awam atau hanya sekadar syiling percubaan (trial coin)?

Salah satu lagi pendapat terbaik mengenai syiling ini ditulis oleh blogger Sanjay Basu didalam blognya Numis-asia.blogspot:
Dengan menandatangani perjanjian Inggeris-Siam 1909, Thailand melepaskan tuntutannya terhadap kedaulatan ke atas 4 negeri-negeri Melayu utara Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Walau bagaimanapun pada tahun 1943, pasukan pendudukan Jepun mengembalikan wilayah-wilayah ini kepada Thailand sebagai menghargai kesediaan Thailand untuk memberikan laluan kepada tentera Jepun untuk ke Malaya. 
Kerajaan Thailand mencetak wang kertas baru 1 Dollar untuk kegunaan didalam 4 negeri-negeri Melayu tersebut. Tetapi oleh kerana pihak Jepun telah menerbitkan wang kertas mereka sendiri untuk kegunaan di Tanah Melayu, Thailand memutuskan untuk tidak melancarkan wang kertas tersebut. Kemudian pada tahun 1945 wang kertas ini telah ditukar kepada 50 Baht Thailand apabila negara tersebut menghadapi kekurangan wang kertas. Wang kertas tersebut telah ditarik balik dan tidak diterima sebagai sah sejak dari Disember 1946. 
Bersama-sama dengan wang kertas 1 Dollar tersebut, 3 denominasi duit syiling timah juga telah dicetak tetapi ianya turut tidak pernah diedarkan. 
Satu set syiling ini telah dilelong oleh Eur-Seree yang berjaya dijual pada harga 440,000 Baht atau lebih kurang US$13,000 pada tahun 2006.
Sumber: Numis-asia.blogspot

Apabila pihak kami membuat rujukan kepada laman web Eur-Seree Collecting co ltd, syiling yang diletakkan sebagai no lot 727 itu telah berjaya dilelong pada harga 460,000 baht didalam acara lelongan Phila-Numis Bangkok yang di adakan pada 27-30 Julai 2006. Harga tersebut tidak termasuk dengan premium pembeli 5% dan 7% VAT (value-added tax) atas premium pembeli.

Walaupun syiling ini tidak tertulis perkataan "MALAYSIA" pada permukaannya, syiling ini juga adalah sebahagian daripada sejarah numismatik Malaysia. Mungkin ada di antara anda yang pernah melihatnya atau ada didalam simpanan koleksi duit syiling Thailand anda?

Syiling Jepun bertulis Malaysia 2602 juga adalah di antara syiling penjajahan Jepun yang tidak dikeluarkan untuk penggunaan umum.