Isnin, 10 Ogos 2015

8 Cara Menyimpan & Melindungi Syiling

Jika sebelum ini, saya ada kongsikan tips bagaimana untuk mengendalikan syiling anda dengan betul. Hari ini saya kongsikan pula 8 cara menyimpan & melindungi syiling anda.

Cara penyimpanan duit syiling yang betul adalah suatu kemestian untuk memastikan syiling anda senantiasa terpelihara dan kekal pada grednya ketika ia mula-mula dibeli dahulu.

Terdapat pelbagai pilihan cara penyimpanan yang anda boleh pilih, semuanya bergantung kepada budget dan juga kualiti syiling yang anda beli. Lebih tinggi nilai syiling anda, saya syorkan anda pastikan syiling itu disimpan menggunakan bahan yang lebih berkualiti walaupun mahal.

Terdapat pelbagai syarikat luar negara yang membekalkan aksesori syiling ini, daripada "Lindner" dari Jerman, "Lighhouse" dari Amerika Syarikat, PCCB / Professional Coin Collection Box dari China dan juga pembekal coin holder dari Thailand.

Anda boleh mendapatkan aksesori tersebut dengan membuat tempahan secara terus melalui website syarikat-syarikat terbabit. Anda juga boleh membelinya secara online daripada penjual-penjual duit lama sama ada di Facebook, eBay atau di Mudah.my. Selain itu, anda juga boleh membelinya secara terus melalui kedai-kedai menjual duit lama yang ada berdekatan dengan tempat anda.

8 CARA MENYIMPAN DAN MELINDUNGI SYILING:

1. Coin Holder daripada Kertas
coin holder


Ini adalah pilihan yang popular dikalangan pengumpul duit lama kerana kosnya yang sangat murah (RM6 untuk kotak yang mengandungi 50keping) berbanding dengan cara menyimpan yang lain. Terdapat pelbagai jenis coin holder kertas di pasaran. Harganya bergantung kepada kualiti dan juga syarikat yang mengeluarkannya. Ianya terdapat dalam pelbagai saiz. Anda juga boleh memilih untuk meletakkannya didalam album atau hanya didalam kotak.

2. Kapsul duit syiling
kapsul duit syiling


Pilihan kedua popular dikalangan pengumpul duit lama di negara ini adalah kapsul (AirTite Holders). Ia biasanya berbentuk bulat (terdapat juga berbentuk empat segi) dan syiling boleh diletakkan didalam kapsul tersebut, anda juga boleh memilih saiz kapsul mengikut saiz syiling anda. Jika syiling anda berharga mahal dan juga mempunyai gred UNC ke atas, disyorkan untuk anda menyimpannya menggunakan kapsul. Harganya juga bergantung kepada kualiti, saiz dan juga syarikat yang mengeluarkannya. Ada yang berharga serendah RM1 sehinggalah kepada RM30 sekeping.

3. Slab duit syiling
Slab


Selain daripada slab daripada syarikat mengred duit syiling, terdapat juga aksesori slab syiling. Slab syiling diperbuat daripada plastik keras seperti slab grading tetapi ianya mempunyai klip yang bersambung apabila dua bahagian slab itu ditekan. Ada yang berharga serendah RM10 sehinggalah kepada RM50 sekeping. Terdapat ruang dibahagian atas untuk anda meletakkan label duit syiling anda.

4. Sampul plastik bebas PVC
Sampul plastik


Pada kebiasaannya, sampul plastik bebas PVC digunakan untuk syiling yang mempunyai gred yang baik tetapi tidak mempunyai nilai yang terlalu tinggi. Sampul ini pada kebiasaannya dijual pada harga lebih kurang RM20 untuk 50 keping. Terdapat juga sampul plastik yang berkualiti tinggi untuk syiling yang berharga mahal.

5. Tubes duit syiling
tubes


Terdapat juga tubes duit syiling (coin tubes) yang biasanya digunakan untuk menyimpan duit syiling bullion. Namun, tubes ini juga didatangkan dengan pelbagai saiz dan kebiasaannya boleh memuatkan banyak syiling. Ianya dijual pada harga lebih kurang RM5 sehingga RM50 untuk satu tubes (tanpa syiling).

6. Beg Plastik kecil berzip
Beg Plastik


Anda boleh mendapatkannya daripada kedai yang menjual barangan plastik pada harga beberapa ringgit sahaja bergantung kepada saiznya dan jumlahnya. Ini juga pada kebiasaannya digunakan untuk syiling yang tidak mempunyai nilai dan gred yang tinggi. Plastik ini tidak bebas PVC dan ada kemungkinan syiling anda akan rosak jika ianya bergred tinggi dan disimpan didalam jangka masa yang panjang didalam plastik ini.

7. Sampul kertas bebas asid
Sampul kertas syiling


Sampul kertas bebas asid juga adalah satu pilihan untuk menyimpan duit syiling. Ianya amat jarang digunakan oleh pengumpul duit lama di negara ini. Ianya diperbuat daripada kertas heavy duty dan melindungi syiling anda daripada habuk dan kotoran.

8. Flips plastik duit syiling
Flips plastik


Flips plastik duit syiling boleh dilipat dan mempunyai dua poket yang berlainan, satu untuk duit syiling dan satu lagi untuk label duit syiling tersebut. Flips plastik duit syiling juga ada yang digunakan untuk duit syiling lama yang tidak berbentuk bulat sebagai contoh, duit timah kesultanan melayu.